Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes 'ragging' SCDF: Komander, timbalannya dihukum penjara 10 minggu atas kematian CPL Kok Yuen Chin

Komander rota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan timbalannya dihukum penjara pada Selasa (15 Sep) atas peranan mereka dalam insiden 'ragging' yang membawa maut kepada seorang anggota Perkhidmatan Negara dalam telaga pam.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Sep 2020 06:38PM Dikemas Kini : 15 Sep 2020 09:43PM

SINGAPURA: Komander Rota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan timbalannya dihukum penjara pada Selasa (15 Sep) atas peranan mereka dalam insiden 'ragging' yang membawa maut kepada seorang anggota Perkhidmatan Negara dalam telaga pam.

Komander Rota Balai Bomba Tuas View Kenneth Chong Chee Boon dan timbalannya Nazhan Mohamed Nazi dihukum penjara 10 minggu.

Dengan perkembangan terkini itu, ia bermakna kesemua tertuduh dalam kes tersebut sudahpun dijatuhi hukuman, lebih dua tahun selepas Korporal (CPL) Kok Yuen Chin mati lemas pada usia 22 tahun selepas ditolak ke dalam telaga pam sedalam 12 meter di balai bomba berkenaan.

Beliau meninggal dunia akibat lemas pada Mei 2018 selepas berada lebih setengah jam dalam air itu dan selepas pelbagai usaha untuk menyelamatkannya oleh para anggota rota tersebut.

Bercakap kepada para wartawan selepas perbicaraan tersebut, bapa CPL Kok berkata para komander sepatutnya menghentikan insiden tersebut.

"Sama ada mereka bersalah atau tidak, saya tidak tahu," kata beliau dalam bahasa Mandarin. "Tetapi mereka seharusnya menyuruh mereka supaya jangan bertindak keterlaluan. Mereka langsung tidak menghentikannya. Seorang berlari ke atas dan seorang lagi setakat tercegat saja. Mereka tidak berkata apa-apa langsung."

Bercakap dalam bahasa Mandarin, beliau berkata anaknya - seorang warga Malaysia dan seorang penduduk tetap Singapura - adalah " orang luar" dan tidak begitu faham dengan apa yang berlaku.

"Apa lagi yang harus saya rasakan?" kata beliau tentang keputusan mahkamah. "(Anak saya) sudah tiada. Dia sudah ke dunia lain... Kami harus menjalani hari-hari mendatang, kami tiada pilihan."

KES 'RAGGING'

Chong dan Nazhan diheret ke muka pengadilan kerana bersubahat dalam menyebabkan kecederaan teruk pada CPL Kok, tetapi pertuduhan itu gagal dibuktikan semasa perbicaraan.

Bagaimanapun, hakim mendapati terdapat cukup bukti untuk menghukum setiap tertuduh dengan satu pertuduhan melakukan kecuaian bertindak cuai sehingga membahayakan nyawa manusia. Chong mengaku bersalah atas pertuduhan baru itu manakala Nazhan tidak mengaku bersalah dan disabit kesalahan.

Hakim Daerah Ong Hian Sun berkata kedua-dua lelaki itu gagal menghalang anggota-anggota rota mereka itu daripada melakukan "kolam" atau kegiatan telaga pam ke atas CPL Kok.

Sebagai pegawai berpangkat paling tinggi semasa bertugas ketika itu, CPL Kok bergantung kepada tertuduh untuk menjaga keselamatannya, kata hakim.

"Berdasarkan fakta, tertuduh sangat cuai dengan membenarkan kegiatan kolam diteruskan walaupun mereka tahu dia tidak tahu berenang," kata Hakim Ong.

Chong tahu para anggotanya itu sedang melakukan kegiatan kolam tetapi setakat berteriak "tiada rakaman dibenarkan", sekali gus memberi isyarat kepada mereka bahawa kegiatan itu boleh diteruskan.

Nazhan pula berada dekat dengan para anggotanya sebelum insiden itu, dan dia juga tidak menghentikan perbuatan mereka, tegas hakim.

Pihak pembela meminta denda lebih tinggi bagi anak guam mereka, manakala pihak pendakwa meminta hukuman penjara maksimum selama tiga bulan terhadap kedua-dua lelaki itu, sambil menambah kesalahan tersebut adalah yang paling dahsyat seumpama itu, yang menyebabkan kematian CPL Kok.

Hakim Ong berkata "wujud kepentingan awam dalam menghalang kegiatan 'ragging' dalam SCDF".

"Keyakinan orang awam tidak harus dihapuskan oleh pendirian yang diambil para komander terhadap keselamatan anggota NS di bawah jagaan mereka," kata beliau.

"Ini terutama sekali bagi kes di mana nyawa anggota-anggota ini dipertanggungjawabkan kepada mereka sepanjang tempoh Perkhidmatan Negara. Pendirian teguh mesti diambil dan menjaga keselamatan para anggota NS menjadi keutamaan mereka.

Peguam Chong, Wee Pan Lee berkata anak guamnya bersedia menjalani hukuman, tetapi pihak pendakwa memohon penangguhan rayuan memandangkan mereka sedang mengusulkan rayuan terhadap kes itu.

Encik Wee berkata Chong mahu menjalani hukuman walaupun pihak pendakwa berjaya membuat rayuan kerana dia mahu meneruskan kehidupannya, dan hakim membenarkannya.

Hukuman maksimum bagi kesalahan melakukan perbuatan cuai yang membahayakan nyawa manusia ialah tiga bulan penjara, denda sehingga S$1,500 atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang terlibat dalam kes tersebut sudahpun dijatuhi hukuman. Lelaki yang menolak CPL Kok ke dalam telaga, Nur Fatwa Mahmood, mengaku bersalah dan dihukum penjara selama setahun dan empat minggu pada Oktober 2018.

Mohamed Farid Mohd Saleh, yang menyuruh Fatwa menolak CPL Kok ke dalam telaga, dipenjara 13 bulan pada November 2019.

Staf Sarjan Adighazali Suhaimi dipenjara sebulan pada Disember 2018 kerana menghapuskan bukti yang menunjukkan kesalahan tersebut.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan