Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes 'ragging' SCDF: CPL Kok alami kecederaan di kepala, badan

Anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF), Korporal (CPL) Kok Yuen Chin, mengalami lebam di kepalanya dan luka-luka kecil di seluruh tubuhnya setelah beliau ditarik keluar daripada perigi sedalam 12 meter di Balai Bomba Tuas View.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes 'ragging' SCDF: CPL Kok alami kecederaan di kepala, badan

Potret gambar CPL Kok Yuen Chin di upacara persemadiannya (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 14 Jun 2019 03:15PM Dikemas Kini : 14 Jun 2019 03:17PM

SINGAPURA: Anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF), Korporal (CPL) Kok Yuen Chin, mengalami lebam di kepalanya dan luka-luka kecil di seluruh tubuhnya setelah beliau ditarik keluar daripada perigi sedalam 12 meter di Balai Bomba Tuas View. Demikian didedahkan ahli patologi forensik di mahkamah pada Jumaat (14 Jun).

Bahan tumbuhan juga ditemui di dalam paru-paru CPL Kok dan otaknya pula didapati bengkak, menurut Dr George Paul, yang menjalankan autopsi pada 14 Mei tahun lalu - sehari selepas NSF 22 tahun itu meninggal dunia setelah ditolak ke dalam perigi semasa meraikan hari Tempoh Tamat Perkhidmatannya (ORD).

Dr Paul berkata kematian CPL Kok disebabkan oleh kekurangan oksigen akibat lemas. CPL Kok ditarik keluar daripada perigi itu hanya 36 minit selepas beliau ditolak jatuh ke dalamnya.

Dr Paul berpendapat lebam lebih besar yang ditemui di belakang kepala CPL Kok mungkin "akibat daripada kesan" jatuh itu namun menegaskan bahawa ia hanya tekaan rambang.

Beliau menambah gambar mikroskopik paru-paru CPL Kok, yang mengandungi air di dalamnya, menunjukkan paru-parunya mempunyai "banyak bahan tumbuhan". Ia sama ada sisa-sisa bahan berdaun yang termasuk ke dalam paru-paru (CPL Kok) atau alga lebih besar, menurut Dr Paul.

Dr Paul memberikan bukti semasa perbicaraan ke atas komander rota Leftenan Kenneth Chong Chee Boon dan timbalan komander Pegawai Waran Kanan pertama (1SWO) Nazhan Mohamed Nazi.

Staf Sarjan Muhammad Nur Fatwa Mahmood, yang menolak CPL Kok ke dalam perigi, dijatuhi hukuman penjara 1 tahun empat minggu pada Oktober lalu dan kini sedang menjalani penahanan di rumah.

Chong dan Nazhan masing-masing berdepan tuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada CPL Kok menerusi tindakan terburu-buru, dengan tidak menghentikan para anggota NSFnya daripada menolak mendiang ke dalam perigi.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan