Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes pistol ditemui di flat Jurong West ditangguh bagi tentukan ikat jamin, selesaikan ujian HSA

Pihak pendakwa meminta agar kes ditangguhkan bagi tempoh yang agak lama kerana beberapa ujian yang dijalankan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) masih belum selesai.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Muhammad Ikram Abdul Aziz yang dituduh memiliki senjata api dan Amirul Asyraff Muhammad Junus yang dituduh bersubahat dengan Muhammad Ikram kembali dihadapkan ke mahkamah hari ini (17 Okt).

Kedua-duanya, yang berpakaian kemeja-T biasa, diminta berdiri semasa sebutan kes dijalankan tadi.

Dalam sebutan kes hari ini, pihak pendakwa meminta agar kes ditangguhkan bagi tempoh yang agak lama kerana beberapa ujian yang dijalankan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) masih belum selesai dan terdapat ujian-ujian lain yang juga perlu dilakukan.

Sekalipun demikian, pihak pendakwa tidak menyatakan apakah bentuk ujian yang sedang dijalankan oleh HSA.

Hakim Christopher Goh kemudian menangguhkan kes kepada enam minggu lagi, iaitu pada 28 November 2019, bagi Muhammad Ikram dan Amirul Ashraff.

Pihak pendakwa juga meminta agar tiada ikat jamin diberikan kepada kedua-dua tertuduh kerana kesalahan-kesalahan yang didakwa dilakukan oleh mereka tidak mewajarkan mereka diberi ikat jamin.

Namun, para peguam yang mewakili Muhammad Ikram dan Amirul Ashraff, tidak bersetuju dan meminta hakim mengizinkan ikat jamin.

Menurut peguam Muhammad Ikram, Ferlin Jayatissa, memandangkan sebutan kes ditangguhkan agak lama, tiada sebab untuk tertuduh ditahan reman sebegitu lama.

Hakim meminta pihak pendakwa dan para peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh untuk menyerahkan hujah masing-masing untuk disemak. Beliau kemudian menetapkan hari Rabu depan (23 Okt) sebagai tarikh untuk menentukan sama ada kedua-dua tertuduh wajar diberi ikat jamin ataupun tidak.

Kes tersebut adalah yang pertama seumpamanya dalam tempoh sedekad.

MILIKI PISTOL SHOOTERS SEA HAWK

Kedua-dua tertuduh ditahan reman sejak Khamis lalu (10 Okt) untuk disiasat selepas didakwa di mahkamah pada hari yang sama.

Muhammad Ikram Abdul Aziz, 24 tahun, didakwa atas satu tuduhan memiliki senjata api secara haram di bawah Akta Kesalahan Senjata Api.

Dia dituduh memiliki pistol Shooters Sea Hawk dalam flat tingkat tiga di Blok 731, Jurong West, St 72 pada 8 Oktober.

Amirul Asyraff Muhammad Junus, 25 tahun, pula didakwa atas satu tuduhan bersubahat dengan seseorang yang memiliki senjata api.

Dia dipercayai bersama Ikram sejak Februari tahun ini semasa Ikram memiliki senjata itu dan besar kemungkinan mengetahui tentang pistol tersebut.

Hukuman bagi memiliki sebarang senjata api secara haram adalah hukuman penjara antara lima sehingga 10 tahun dan sekurang-kurangnya enam sebatan.

Sesiapa yang bersubahat dengan individu yang memiliki senjata api secara haram juga akan dikenakan hukuman yang sama.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan