Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes pertama virus Wuhan disahkan di S'pura; 1 lagi kes mungkin positif

Kementerian Kesihatan (MOH) malam ini (23 Jan) mengesahkan kes pertama pesakit virus Wuhan di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) malam ini (23 Jan) mengesahkan kes pertama pesakit virus Wuhan di Singapura.

Pesakit tersebut adalah seorang lelaki berusia 66 tahun yang berasal dari China dan merupakan seorang penduduk Wuhan. Dia kini dimasukkan ke Hospital Besar Singapura (SGH).

Setakat jam 6.00 petang tadi, MOH mengesahkan 28 kes yang disyaki dijangkiti virus Wuhan di sini. Jumlah ini adalah satu peningkatan hampir dua kali ganda daripada jumlah yang dilaporkan semalam (22 Jan) iaitu sebanyak 10 kes yang disyaki.

Selain daripada pengunjung 66 tahun itu, MOH juga menambah terdapat satu lagi kes yang di peringkat awal disahkan positif. Ini bermakna pesakit kedua itu belum lagi disahkan dijangkiti penyakit itu, memandangkan MOH sedang menjalankan ujian kedua.

MOH menyatakan keputusan ujian kedua itu akan dikeluarkan pada esok pagi (24 Jan).

PERJALANAN KES PERTAMA

Menurut MOH, lelaki pertama yang disahkan itu kini berada dalam keadaan stabil.

Daripada rekodnya, lelaki itu tiba di Singapura pada 10.40 malam dari Guangzhou China pada Isnin (20 Jan) menerusi penerbangan China Southern Airlines. Beliau tiba di sini bersama sembilan lagi rakan perjalanan.

Sebelum dimasukkan ke SGH semalam (22 Jan), lelaki itu tinggal di Hotel Shangri-La Rasa Sentosa Resort & Spa yang terletak di Sentosa.

Lelaki itu difahamkan menaiki teksi ke SGH setelah mendapati beliau mengalami demam dan batuk-batuk.

MOH menyatakan ia sedang memantau keadaan dan akan menjalankan ujian ke atas mereka yang rapat dengan lelaki tersebut sepanjang tempoh perjalanannya di sini.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan