Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes pertama 'monkeypox' di S'pura: Apa yang anda perlu tahu?

Seorang warga Nigeria 38 tahun dikesan positif menghidapi jangkitan cacar monyet di Singapura. Bagaimana ia berjangkit? Apa tanda-tandanya? Ini 5 fakta tentang 'monkeypox'...

Anggaran Waktu Membaca:
Kes pertama 'monkeypox' di S'pura: Apa yang anda perlu tahu?

Seorang budak yang dijangkiti 'monkeypox' di Afrika menerima rawatan pada 2018 (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 10 May 2019 12:37AM Dikemas Kini : 10 May 2019 12:47AM

SINGAPURA: Seorang warga Nigeria 38 tahun dikesan positif menghidapi jangkitan cacar monyet di Singapura. Ini disahkan Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (9 Mei) sebagai yang pertama dilaporkan di sini.

Pesakit yang disyaki mendapat jangkitan setelah makan daging haiwan liar di Nigeria, kini dalam keadaan stabil dalam wad berasingan di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Seramai 23 yang berhubung rapat dengannya dikuarantin meskipun tidak menunjuk sebarang tanda jangkitan.

(Infograf: CNA)

Ini beberapa perkara yang anda perlu tahu tentang penyakit tersebut:

1. BAGAIMANA CACAR MONYET MEREBAK & APAKAH RISIKO PENULARANNYA?

Cacar monyet atau monkeypox adalah penyakit jarang berlaku dan berpunca dari jangkitan virus dari haiwan seperti monyet dan rodensia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jangkitan berlaku apabila seseorang berhubung langsung dengan darah, cecair dari tubuh badan atau luka dari haiwan yang sudah dijangkiti.

Gambar: Perpustakaan Imej Kesihatan Awam

Virus juga boleh merebak akibat memakan daging haiwan yang sudah dijangkiti dan tidak dimasak dengan betul.

Namun, virus tidak mudah merebak di kalangan manusia. Jangkitan antara manusia boleh berlaku akibat hubungan langsung dengan cecair dari saluran pernafasan, tersentuh luka orang yang membawa virus atau objek yang dijangkiti oleh cecair tubuh pesakit.

Seseorang juga perlu berhubung secara langsung dengan agak lama dengan pesakit sebelum jangkitan berlaku.

WHO menekankan buat masa ini tiada bukti yang menunjukkan bahawa jangkitan dari manusia ke manusia boleh menyebabkan penularan berkekalan dalam kalangan penduduk.

MOH menyatakan risiko penularan cacar monyet di Singapura kekal rendah.

2. APAKAH TANDA-TANDANYA?

Seseorang yang terkena jangkitan mungkin mengalami tanda-tanda awal ini: Demam, sakit kepala, nodus limfa yang bengkak, sakit pinggang, sengal otot dan kurang bermaya.

Ruam akan tumbuh dalam masa sehari hingga tiga hari selepas demam. Ia seringkali bermula di bahagian muka dan merebak ke bahagian tubuh yang lain, selalunya di tapak tangan dan kaki.

Ibu dan anak yang dijangkiti virus cacar monyet menunggu rawatan pada 2018 (Gambar: AFP)

Dalam beberapa kes, virus tersebut boleh menimbulkan komplikasi serius seperti pneumonia, sepsis, radang otak dan kehilangan deria penglihatan akibat jangkitan pada mata.

Simptom-simptom tersebut biasanya kekal antara 14 hingga 21 hari.

3. BERAPA BAHAYAKAH 'MONKEYPOX'?

Kebanyakan kes maut berlaku di kalangan pesakit dalam lingkungan usia muda, menurut WHO. Kadar kematian semasa penularan dilaporkan pada sekitar satu hingga 10 peratus.

4. BAGAIMANA IA DIKESAN DAN DIRAWAT?

Cacar monyet hanya boleh didiagnos dalam makmal khas menerusi beberapa ujian, menurut WHO.

Malangnya, buat masa ini tiada rawatan khas atau vaksin khas untuk jangkitan monkeypox. Bagaimanapun, vaksin campak terbukti 85 peratus berkesan dalam mengelakkan jangkitan cacar monyet.

5. NEGARA MANA LAGI YANG MELAPORKAN PENULARAN CACAR MONYET?

Menurut WHO, penyakit ini pertama kali dikenal pasti di kalangan manusia pada 1970 di Republik Demokratik Congo dan dikesan kebanyakannya di bahagian tengah dan barat Afrika, berdekatan hutan tropika.

Pertama kali kes jangkitan cacar monyet dilaporkan di luar Afrika adalah pada 2003, apabila Amerika Syarikat mencatatkan 37 kes yang disahkan, menurut Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) Amerika Syarikat. Penularan tersebut merebak di lima wilayah.

Penularan itu disahkan berpunca daripada haiwan-haiwan yang diimport dari Ghana ke Texas.

CDC Amerika Syarikat juga menyenaraikan tiga kes monkeypox di United Kingdom dan satu di Israel, pada 2018.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan