Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes penumpang elak bayar tambang teksi merosot susuli kemunculan khidmat kereta sewa privet

Jumlah kes penumpang cuba mengelak daripada membayar tambang teksi mencatat penurunan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sejajar dengan kemerosotan jumlah penumpang di tengah-tengah kemunculan khidmat kereta sewa privet.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes penumpang elak bayar tambang teksi merosot susuli kemunculan khidmat kereta sewa privet

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 20 Sep 2021 10:37AM Dikemas Kini : 20 Sep 2021 10:38AM

SINGAPURA: Jumlah kes penumpang cuba mengelak daripada membayar tambang teksi mencatat penurunan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sejajar dengan kemerosotan jumlah penumpang di tengah-tengah kemunculan khidmat kereta sewa privet.

Perangkaan yang diberikan oleh Majlis Pengangkutan Awam (PTC) menunjukkan terdapat 104 kes penumpang mengelak daripada membayar tambang teksi pada tahun lalu - iaitu penurunan sekitar 57 peratus daripada 2015, apabila terdapat 240 kes sedemikian. Pada 2019, jumlahnya adalah 166.

Kes cuba mengelak daripada membayar tambang teksi lazimnya melibatkan bayaran tambang menggunakan wang tunai, menurut PTC.

Menurut data Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), jumlah teksi di Singapura merosot, dengan sebanyak 15,497 didaftarkan setakat Julai tahun ini - iaitu kemerosotan sekitar 45 peratus daripada 2016, apabila terdapat 28,258 teksi di sini.

Perangkaan LTA juga menunjukkan bahawa khidmat tahan teksi di jalanan - yang hanya boleh dilakukan teksi - membentuk sekitar 19 peratus daripada kesemua perjalanan "dari satu tempat ke tempat lain" pada tahun ini.

Kedua-dua teksi dan khidmat kereta sewa juga menyaksikan kemerosotan dalam jumlah penumpang di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Pada 30 Oktober tahun lalu, Rangka Kerja Kawalselia Pengangkutan Satu Tempat Ke Satu Tempat dikuatkuasakan, dengan tujuan memberi lebih kuasa kepada LTA dan PTC bagi mengawalselia sektor teksi dan khidmat kereta sewa.

Selain daripada memerlukan syarikat-syarikat khidmat kereta sewa seperti Grab dan Gojek mendapatkan lesen, rangka kerja itu juga memberi kuasa kepada PTC untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penumpang yang cuba elak daripada membayar tambang serta pemandu yang mengenakan tambang berlebihan bagi perjalanan yang ditempah melalui penyedia khidmat kereta sewa.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap PTC berkata 57 kes mengelak membayar tambang teksi dirujukkan ke PTC dan LTA bagi siasatan lanjut antara November 2020 dengan Jun tahun ini.

Ini bermakna purata sekitar tujuh kes sedemikian dalam sebulan.

48 daripada kes itu melibatkan kesalahan cuba elak membayar tambang bagi perjalanan teksi yang ditahan di jalanan manakala sembilan adalah bagi kes tempahan perjalanan, kata jurucakap PTC itu, sambil menambah tambang bagi 21 kes berjaya diperolehi semula.

Satu kes dibawa ke mahkamah bagi tindakan lanjut manakala lagi tiga kes masih disiasat, menurut PTC.

"Bagi baki kes, sama ada tidak ada butiran cukup tentang penumpang terbabit bagi siasatan lanjut, pemandu memutuskan untuk tidak meneruskan dengan isu itu atau tunggakan tambang dihuraikan secara peribadi antara pemandu dan penumpang," menurut PTC.

Semasa tempoh yang sama, terdapat 30 kes di mana pemandu teksi mengenakan tambang berlebihan dan empat kes pemandu khidmat kereta sewa mengenakan tambang berlebihan, menurut PTC.

Pemandu yang didapati telah mengenakan tambang berlebihan kepada penumpang diberi amaran atau dihantar bagi kaunseling.

Penumpang yang tidak membayar tambang boleh didenda S$200 bagi kesalahan pertama dan S$400 bagi kesalahan kedua, selain daripada membuat bayaran bagi tambang yang dielakkan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan