Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes pembunuhan kanak-kanak di Chin Swee Rd: Jiran tetangga terkejut, tidak tahu-menahu

Pasangan itu yang kedua-duanya memakai cermin mata, sebenarnya sedang ditahan reman sejak Jun tahun 2018 bagi kesalahan-kesalahan lain seperti dadah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pasangan lelaki dan wanita Melayu, yang didakwa membunuh anak perempuan mereka yang berusia dua tahun, tampil di mahkamah hari ini (17 Sep) dengan memakai baju penjara, untuk mendengar pertuduhan itu dibacakan ke atas mereka.

Pasangan itu yang kedua-duanya memakai cermin mata, sebenarnya sedang ditahan reman sejak Jun tahun 2018 bagi kesalahan-kesalahan lain seperti dadah.

Namun penemuan bahagian tubuh atau jasad anak mereka itu hanya diketahui pada Selasa lalu - 10 September - setelah satu aduan polis meminta bantuan diterima pada pukul 8.30 malam.

Kes pembunuhan Chin Swee Road. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Polis mengesahkan kanak-kanak tersebut sebagai anak kandung lelaki berusia 31 tahun dan wanita berusia 30 tahun itu.

Walaupun mereka sedang ditahan reman sejak tahun lalu, kertas pertuduhan mahkamah menyatakan, pasangan berkenaan sebenarnya membunuh anak mereka pada Mac 2014 di sebuah flat di Blok 52 Chin Swee Road.

Ini bermakna kejadian pembunuhan itu berlaku lima tahun lalu.

Identiti pasangan tersebut tidak boleh didedahkan, atas arahan mahkamah, demi melindungi anak-anak mereka yang lain.

Jika disabit kesalahan, pasangan itu boleh dijatuhi hukuman mati ataupun penjara seumur hidup.

Kes pembunuhan Chin Swee Road. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

JIRAN-JIRAN MENGAKU TERKEJUT, TIDAK TAHU-MENAHU

Kunjungan BERITAmediacorp ke unit flat tersebut - yang kebetulan terletak bertentangan dan tidak jauh dari Mahkamah Negara - mendapati bahawa tiada orang di dalamnya serta ia sudah dikunci dengan rantai dan mangga yang agak baru.

Kes pembunuhan Chin Swee Road. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Bahagian atas pintu masuk flat tersebut kelihatan diletak sebuah buku Surah Yaasin dan Ayat Kursi.

Suasana di pekarangan unit di mana kanak-kanak itu dipercayai dibunuh kelihatan lengang dan sunyi.

Kes pembunuhan Chin Swee Road. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Hanya beberapa jiran membuka apabila kami mengetuk pintu mereka untuk bertanyakan tentang kejadian luar biasa ini dan pasangan yang dituduh membunuh anak mereka itu.

Namun demikian, tidak banyak yang jiran-jiran itu ketahui tentang mangsa mahupun ibu bapanya. Jiran-jiran tetangga, yang kebanyakannya merupakan warga tua, malah mengaku terkejut dengan tragedi itu.

Kes pembunuhan Chin Swee Road. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Salah seorang daripadanya berkata, beliau hanya mengetahui tentang insiden tersebut selepas polis datang ke flatnya untuk mendapatkan maklumat.

"Aduh. Kenapa benda itu (mayat kanak-kanak tersebut) masih di situ selepas 5 tahun," tambah jiran wanita warga emas itu.

SAMI BUDDHA DATANG BERDOA KERANA SEDIH

Semasa kru kami berada di luar flat yang dikatakan tapak pembunuhan, seorang sami Buddha kelihatan datang membawa sejambak bunga dan meletakkannya di luar flat.

Ditanya mengapa beliau berbuat demikian, sami Buddha itu berkata beliau datang berdoa kerana berasa sedih, bahawa inilah pertama kali beliau mendengar kejadian seperti itu berlaku.

Kes pembunuhan Chin Swee Road. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Kes ini akan disebut lagi di mahkamah pada Selasa depan (24 Sep).

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan