Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes Monkeypox S'pura: Pengunjung Hotel 81, tempat pesakit tinggal, tidak terkesan

Perniagaan nampaknya berjalan seperti biasa pada Jumaat (10 Mei) di Hotel 81 Orchid di Geylang, sehari selepas seorang warga Nigeria yang dijangkiti monkeypox atau cacar monyet menginap di sana.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes Monkeypox S'pura: Pengunjung Hotel 81, tempat pesakit tinggal, tidak terkesan

Hotel 81 Orchid, terletak di 21 Lorong 8 Geylang, di mana pesakit warga Nigeria menginap.

SINGAPURA: Perniagaan nampaknya berjalan seperti biasa pada Jumaat (10 Mei) di Hotel 81 Orchid di Geylang, sehari selepas seorang warga Nigeria yang dijangkiti monkeypox atau cacar monyet menginap di sana.

Mediacorp menemu bual beberapa pengunjung yang meninggalkan dan memasuki hotel di Lorong 8 itu dan mendapati semuanya kelihatan tidak terkesan dengan kejadian tersebut. Satu pasangan, yang enggan nama mereka didedahkan berkata mereka tidak mendengar langsung tentang kejadian itu.

Pada Khamis (9 Mei), Kementerian Kesihatan (MOH) mengesahkan kes pertama cacar monyet di Singapura. Pesakit dikenal pasti sebagai seorang warga Nigeria berusia 38 tahun yang diuji positif virus tersebut pada 8 Mei. Beliau kini diletakkan di dalam wad berasingan di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

MOH menyatakan pihaknya mengesan balik dan mengenal pasti 23 orang yang berhubung rapat dengan pesakit. Kesemuanya sudahpun diletakkan dalam kuarantin. Ia juga menekankan bahawa risiko cacar monyet merebak dalam kalangan masyarakat setempat adalah rendah.

Beberapa lagi orang yang ditemui Mediacorp sedang keluar dari hotel berkenaan berkata mereka tidak perasan sebarang perkara luar biasa berlaku.

Bahkan, apabila ditanya sama ada mereka akan menimbangkan semula keputusan mereka untuk menginap di hotel tersebut sekiranya mereka tahu akan insiden cacar monyet itu, ada yang menjawab tidak.

BILIK DI HAB SAMSUNG DIBASMI KUMAN

Mediacorp juga mendekati orang ramai yang meninggalkan Hab Samsung, bangunan di Church Street yang mana menurut MOH, lelaki Nigeria itu menghadiri sebuah bengkel pada 29 dan 30 April lalu.

Kebanyakan daripada mereka tidak dengar langsung tentang kes cacar monyet tersebut dan mengatakan bahawa mereka tidak dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pihak pengurusan bangunan.

Bagaimanapun, sesetengah daripada mereka menyedari kehadiran ramai polis di bangunan itu pada Khamis meskipun tidak tahu jika ia ada kaitan dengan kes cacar monyet.

CBRE, yang menguruskan Hab Samsung, memberitahu Mediacorp bahawa langkah-langkah sudahpun diambil menyusuli kes tersebut.

"Unit Pengendalian Udara (AHU) sudahpun dibersihkan dan dibasmi kuman. Penapis tambahan juga diletakkan dalam unit hawa dingin di tingkat yang terjejas," menurut kenyataannya.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan