Images
  • depression 2
    (Gambar fail: AP)

Kes masalah mental yang dikendalikan Club Heal melonjak lebih 400% tahun ini

BERITAmediacorp: Jumlah orang yang mendapatkan bantuan Club Heal berhubung masalah berkaitan kesihatan mental melonjak lebih 400% bagi Januari hingga November tahun ini, berbanding keseluruhan tahun 2017.

Secara purata, ia menerima 31 kes baru setiap bulan tahun ini berbanding 6 kes pada 2017.

Pusat itu kini mempunyai 1,786 klien dengan 60% daripadanya merupakan individu yang merujuk secara sendiri atau oleh keluarga.

Baki 40% kes disalurkan pertubuhan lain seperti Institut Kesihatan Mental (IMH), poliklinik dan pusat khidmat keluarga dan badan kebajikan sukarela (VWO).

MENGAPA JUMLAH KES NAIK?

Club Heal menyatakan, 280 daripada pesakit yang dikendalikannya berada dalam kumpulan usia 18-34 tahun, dengan 76 daripada mereka mengalami tekanan jiwa.

Menurut IMH, kenaikan mendadak jumlah orang yang tampil mendapatkan bantuan seperti yang disaksikan Club Heal itu, berpunca dari usaha meningkatkan kesedaran oleh "rakan-rakan masyarakat" termasuk poliklinik, doktor GP dan pertubuhan kebajikan sukarela.

"Kita suka kalau di kalangan masyarakat tampil untuk mendapatkan khidmat kami daripada tahap yang awal. Sebab kalau orang datang pada tahap yang awal, lebih senang untuk dia baik pulih dengan bantuan kaunselor mungkin tidak payah berjumpa doktor pakar," ujar Presiden Club Heal Dr Radiah Salim.


Pentingnya badan-badan seperti Club Heal ditekankan oleh IMH.

"Mereka bertindak sebagai garisan pertama dari segi pemeriksaan serta mengambil pesakit yang mungkin mempunyai keadaan kesihatan mental. Jika fikir ia lebih serius, mereka akan merujuk kepada kami," jelas Ketua Daerah Barat (IMH) Dr Wei Ker-Chiah.

KAJIAN IMH: LEBIH RAMAI ORANG ALAMI GANGGUAN MENTAL

Kajian terbaru IMH baru-baru ini mendapati, satu daripada setiap tujuh orang pernah mengalami ganguan mental dalam tempoh hayat mereka. Ini berbanding satu dalam lapan orang, dalam kajian serupa yang dijalankan pada 2010.


Bermakna, lebih ramai orang mengalaminya.

Kumpulan usia 18 hingga 34 tahun yang dikenal pasti kajian kesihatan mental IMH baru-baru ini sebagai golongan yang besar kemungkinan menghadapi masalah mental.

"Ana" dan "Hisham" termasuk dalam kumpulan usia 18 hingga 34 tahun yang dikenal pasti kajian kesihatan mental IMH itu, sebagai golongan yang besar kemungkinan menghadapi masalah mental.

"ANA": HADAPI TEKANAN JIWA SELEPAS JADI MANGSA BULI

"Ana", 22 tahun, mula menjadi murung setelah menjadi mangsa buli di sekolah menengah dan keadaannya menjadi bertambah serius di tahun pertama pengajian di politeknik.


"Saya berkongsi dengan dengan kawan saya yang saya memendam perasaan mahu membunuh diri. Saya kerap merasa sedih, runsing dan tidak dapat memberi perhatian pada pelajaran," kongsi beliau.

Kawannya itu kemudian melaporkan keadaan "Ana" kepada pihak kaunselor politeknik kerana bimbangkan keselamatannya.

"Ana" selepas itu dirujukkan ke IMH dan kini semakin pulih dibawah program pemulihan Club Heal.

"Saya rasa mendapat bantuan adalah keputusan yang terbaik bagi saya. Kalau tak, saya tidak akan berada di sini, saya tidak akan dapat menikmati hidup," kongsi "Ana" secara terus terang.

RUNSING AKIBAT PUTUS CINTA

Bagi klien seperti "Hisham" pula, fikirannya menjadi bercelaru selepas berpisah dengan teman wanitanya.


"Saya nak luahkan perasaan, pada sesiapa tetapi saya tidak tahu bagaimana. Dan saya mendiamkan diri di bilik untuk tiga minggu sehingga saya mendengar 'suara'," kata beliau.

Malah, ibu bapanya menyangka beliau mengambil dadah. Menurut "Hisham", tidak ramai yang tahu tentang masalah kesihatan mental yang dialaminya ketika itu.

"Saya memberitahu kawan-kawan saya yang saya pergi ke IMH tetapi mereka ingat saya gila. Pada satu ketika saya tidak terus jalani rawatan kerana tidak mahu dianggap gila," luah pemuda berusia 35 tahun itu.

Namun beliau kembalil mendapatkan rawatan di IMH selepas menghadapi tekanan sekali lagi. Keadaannya kini terkawal dengan bantuan program pemulihan di Club Heal. Yang pasti, "Hisham" bersyukur:

"Sekarang saya dapat apa yang saya hendaki seperti kerja yang baik. Saya juga sudah berumahtangga. Kalau dulu saya dapat sokongan macam gitu, kalau daripada dulu saya dapat tahu pasal Club Heal, saya rasa saya lagi sempurna saya rasa."

CLUB HEAL BUKA CAWANGAN BARU DI BUANGKOK

Pada pertengahan tahun depan, Kelab Heal akan membuka cawangannya yang keempat, seluas 188 meter persegi di Buangkok.


Ia akan menyediakan khidmat bagi para kliennya yang tinggal di kawasan seperti Hougang, Punggol dan Sengkang.

Cawangannya di Bukit Batok pula akan berpindah ke ruang yang lebih besar seluas 290 meter persegi berbanding 188 meter persegi sekarang. 

- BERITAmediacorp/aq

Top