Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes keracunan makanan Busy Bees: Lebih 130 kanak-kanak dan guru terjejas

Lebih 130 orang terjejas dengan kes keracunan makanan membabitkan kanak-kanak dan guru dari syarikat pendidikan Busy Bees.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Nov 2018 10:46PM Dikemas Kini : 28 Nov 2018 03:13PM

SINGAPURA: Lebih 130 orang terjejas dengan kes keracunan makanan membabitkan kanak-kanak dan guru dari syarikat pendidikan Busy Bees.

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) dalam satu kenyataan bersama malam ini (27 Nov).

Kejadian keracunan makanan itu berlaku semalam (26 Nov) semasa satu acara perkhemahan anjuran Learning Horizon.

Menurut kenyataan bersama itu lagi, makanan yang diambil kanak-kanak dan guru tersebut disediakan oleh FoodTalks Caterer & Manufacturer di 3015 Bedok North St 5 #04-03, Shimei East Kitchen 486350.

MOH, NEA dan AVA kini menyiasat penularan kes gastroenteritis - atau radang perut dan usus - yang berlaku setelah mengambil makanan berkenaan. Sehingga hari ini, 131 kes mangsa yang mengalami keracunan tersebut dikesan.

Ketiga-tiga penguasa juga sedang menjalankan pemeriksaan secara bersama hari ini, ke atas premis syarikat penyedia makanan itu. Sebagai sebahagian daripada siasatannya, para pengendali makanan di situ dihantar untuk menjalani pemeriksaan sampel najis, selain pengambilan sampel makanan dan sekitaran.

"Kami maklum mengenai insiden keselamatan makanan yang menjejas sesetengah murid K2 dan guru kami yang jatuh sakit setelah memakan makanan yang disediakan oleh syarikat katering di sebuah acara perkhemahan semalam," kata Pengarah Operasi dan Kurikulum Busy Bees, Ronald Kwong. 

"Selepas mengetahui berita itu, kami dengan segera menggantung perkhemahan itu dan melaporkan insiden tersebut kepada Kementerian Kesihatan, NEA dan ECDA (Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak). Kami sedang terus bekerjasama dengan mereka untuk menentukan punca insiden tersebut." 

Encik Kwong menambah bahawa mereka yang terjejas akibat insiden itu sudahpun menerima rawatan perubatan dan tiada sesiapa yang perlu dimasukkan ke hospital.

Busy Bees juga sedang berhubungan dengan para ibu bapa kanak-kanak yang terjejas "bagi menyediakan sebarang sokongan yang diperlukan," kata beliau. 

Ini merupakan kejadian keracunan makanan beramai-ramai yang ketiga dilaporkan di negara ini sejak tiga minggu lalu.

Baru Khamis lalu (22 Nov), 190 orang jatuh sakit akibat kes gastroenteritis sehingga mengalami cirit-birit dan muntah-muntah, setelah mengambil makanan daripada syarikat katering TungLok Group.

Pada 7 November pula, 81 orang menjadi mangsa, dengan seorang daripadanya meninggal dunia dalam insiden keracunan makanan membabitkan bento yang dibekalkan restoran popular Spize cawangan River Valley.

Kedua-dua restoran masih lagi digantung lesen masing-masing oleh NEA.  

Sumber : BERITA Mediacorp/DY/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan