Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes keempat virus Wuhan disahkan di S'pura

Kes keempat virus Wuhan disahkan di Singapura, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya pada awal pagi tadi (26 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 26 Jan 2020 01:48PM Dikemas Kini : 26 Jan 2020 08:55PM

SINGAPURA: Kes keempat virus Wuhan disahkan di Singapura, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya pada awal pagi tadi (26 Jan).

Kes terkini melibatkan seorang lelaki asal China berusia 36 tahun dari Wuhan yang tiba di Singapura bersama keluarganya pada Rabu (22 Jan).

"Beliau kini dirawat dalam satu bilik yang diasingkan di Hospital Besar Sengkang (SKH) dan keadaannya stabil," dedah MOH.

Lelaki berkenaan, yang tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda dijangkiti virus Wuhan semasa penerbangannya ke Singapura, menginap di Village Hotel Sentosa setibanya di sini.

Meskipun demikian, beliau mula batuk-batuk pada Khamis (23 Jan) dan pergi ke Jabatan Kecemasan SKH pada keesokan harinya, di mana beliau disyaki dijangkiti virus tersebut dan diasingkan dengan serta-merta.

Pemeriksaan selanjutnya mengesahkan beliau terkena jangkitan virus korona Wuhan pada sekitar 9.30 malam pada Sabtu (25 Jan).

MOH menyatakan, ia menjalankan siasatan epidemiologi dan menjejaki mereka yang berhubung rapat dengannya.

Keseluruhannya terdapat 64 kes yang disyaki dijangkiti virus itu di Singapura, setakat jam 10.00 malam pada 25 Jan. 29 daripadanya diuji negatif dan hasil ujian masih belum dikeluarkan bagi baki 31 orang, menurut MOH di lamannya.

KES LAIN YANG SUDAH DISAHKAN

Pada 24 Jan, MOH mengesahkan dua individu diuji positif bagi virus Wuhan di Singapura selepas kes pertama disahkan.

Dua pesakit terjejas termasuk anak kepada pesakit kes pertama, iaitu seorang lelaki berusia 37 tahun, dan seorang wanita 53 tahun. Ketiga-tiga pesakit melakukan perjalanan dari Wuhan.

Pesakit wanita dilaporkan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda terkena jangkitan semasa penerbangan ke Singapura tetapi beliau mula demam, batuk-batuk dan berasa seram sejuk pada sebelah petang apabila tiba pada 21 Jan, menurut MOH.

Beliau menginap di Hotel J8 dan berkunjung ke Orchard Road, Marina Bay Sands dan Taman di Pesisiran, dan juga menaiki pengangkutan awam semasa di sini, termasuk menaiki MRT dan teksi.

"Kemungkinan beliau bersentuhan dengan orang awam semasa berada di tempat mahupun pengangkutan awam, adalah rendah," tambah MOH.

Kes pertama yang disahkan di Singapura adalah seorang penduduk Wuhan berusia 66 tahun yang kini diasingkan di Hospital Besar Singapura (SGH) dan sedang dalam keadaan stabil.

Lelaki berkenaan menginap di Rasa Sentosa Resort and Spa Shangri-La dan mengatakan beliau hanya berada di premis tersebut (sejak tiba di Singapura).

Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Sabtu (25 Jan) menyatakan ia sedang memantau dengan teliti penularan wabak virus korona di China dan sedang berhubungan dengan 35 rakyat Singapura di kota Wuhan, di mana virus itu mula tercetus.

Rakyat Singapura di Wuhan sudah mendaftarkan diri di laman MFA atau menghubungi kementerian itu.

"Mereka melaporkan bahawa mereka dalam keadaan baik," menurut MFA.

Jumlah kematian yang disahkan akibat penularan wabak virus berkenaan di China meningkat kepada 54, dengan pihak berkuasa di wilayah Hubei hari ini (26 Jan) melaporkan lagi 13 kematian dan 323 kes baru.

Dengan perangkaan terkini dari Hubei, tempat di mana wabak itu tercetus, jumlah keseluruhan yang disahkan dijangkiti virus berkenaan di negara tersebut sudah mencecah 1,610 kes.   

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan