Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes ke-4 virus Wuhan: Kakitangan Village Hotel Sentosa dihantar ke hospital, bilik pesakit ditutup

Hotel Sentosa sudah menutup bilik-bilik di mana individu keempat di Singapura yang disahkan dijangkiti virus korona Wuhan menginap bersama keluarganya. Hotel berkenaan juga sudah menghantar tujuh kakitangannya ke hospital yang mungkin pernah bersentuhan dengan pesakit tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes ke-4 virus Wuhan: Kakitangan Village Hotel Sentosa dihantar ke hospital, bilik pesakit ditutup

(Gambar: Village Hotel Sentosa)

Diterbitkan : 27 Jan 2020 09:20AM Dikemas Kini : 27 Jan 2020 09:24AM

SINGAPURA: Village Hotel Sentosa sudah menutup bilik-bilik di mana individu keempat di Singapura yang disahkan dijangkiti virus korona Wuhan menginap bersama keluarganya. Hotel berkenaan juga sudah menghantar tujuh kakitangannya ke hospital yang mungkin pernah bersentuhan dengan pesakit tersebut.

Kes keempat yang diimport itu disahkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) pada Ahad (26 Jan). Lelaki warga China yang berusia 36 tahun dari Wuhan itu tiba di Singapura bersama keluarganya pada Rabu.

Lelaki tersebut dan lima teman seperjalanannya menginap di Village Hotel Sentosa setelah tiba di sini. Beliau mula batuk-batuk pada Khamis dan kemudian pergi ke Hopital Besar Sengkang pada Jumaat. Beliau disahkan dijangkiti virus korona tersebut pada sekitar 9.30 malam pada Sabtu, menurut MOH.

"Kami dengan segera mengenal pasti kesemua tujuh kakitangan yang berurusan dengan tetamu itu dan membuat aturan untuk menghantar mereka ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga," kata pengurus hotel Albert Ocasio kepada Mediacorp.

Para kakitangan yang terjejas pergi ke hospital yang paling dekat dengan rumah masing-masing pada Sabtu malam, tambahnya.

Pihak hotel turut mengosongkan dan menutup tiga bilik di mana para tetamu dan keluarga mereka menginap sebelum ini.

Dua daripada tiga bilik itu, termasuk bilik lelaki 36 tahun itu, diberikan kepada tetamu lain sebelum pihak hotel mendapat pengesahan mengenai status jangkitan lelaki berkenaan.

"Kami dengan segera memindahkan para tetamu ke bilik lain sebaik sahaja mendapat panggilan daripada MOH. Pihak hotel dan MOH saling berurusan secara kerap dengan para tetamu sepanjang pagi," kata Encik Ocasio.

Menurut beliau, pihak hotel juga menyediakan meja bantuan untuk para tetamu jika mereka mempunyai sebarang pertanyaan berhubung situasi itu atau jika mereka memerlukan bantuan perubatan.

"Kami sedang bekerjasama dengan MOH untuk memastikan situasi terkawal," tambah Encik Ocasio.

Selain empat kes yang sudah disahkan, terdapat 42 kes yang sedang menantikan hasil ujiannya setakat Ahad, 12.00 tengah hari, menurut laman MOH.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan