Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes denggi S'pura jangkaui 500 buat 4 minggu berturut-turut; kes denggi serotip 3 turut meningkat

Lebih 8,000 kes denggi dilaporkan di Singapura pada tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes denggi S'pura jangkaui 500 buat 4 minggu berturut-turut; kes denggi serotip 3 turut meningkat

(Gambar: Edgar Su/Reuters)

Diterbitkan : 31 May 2020 01:32PM Dikemas Kini : 31 May 2020 01:39PM

SINGAPURA: Lebih 8,000 kes denggi dilaporkan di Singapura pada tahun ini.

Setakat sehingga Jumaat (29 Mei), sebanyak 576 kes denggi dilaporkan pada minggu lalu.

Minggu lalu juga merupakan minggu keempat berturut-turut di mana kes denggi mingguan menjangkaui 500 kes.

Menulis di laman Facebooknya hari ini (31 Mei), Menteri Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) Masagos Zulkifli menegaskan bahawa perangkaan ini adalah sesuatu yang membimbangkan kerana Singapura baru saja memasuki kemuncak musim denggi.

Cuaca yang lebih panas dari Mei hingga September turut menyingkatkan tempoh pembiakan nyamuk Aedes, yang sekali gus akan membawa kepada kadar jangkitan denggi yang lebih tinggi.

Satu lagi perkara yang memprihatinkan Encik Masagos ialah peningkatan pada jumlah kes denggi serotip 3 atau DENV-3 di negara ini. Tahap imuniti rakyat Singapura terhadap jenis denggi itu juga lebih rendah memandangkan jenis virus berkenaan tidak lagi dominan di Singapura sejak 30 tahun yang lalu dan ini menyebabkan rakyat dan penduduk negara ini lebih terdedah kepada virus tersebut.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyaksikan peningkatan sebanyak 50 peratus pada jumlah pembiakan larva nyamuk Aedes di dalam rumah sejak tiga tahun kebelakangan ini berbanding tiga tahun sebelumnya.

Sepanjang tempoh 'circuit breaker' atau pemutus rantaian jangkitan COVID-19, NEA masih mengesan pembiakan nyamuk di dalam rumah.

Encik Masagos benar-benar berharap trend ini dapat diputuskan kerana ramai rakyat dan penduduk Singapura duduk di rumah sepanjang tempoh 'circuit breaker'.

Menteri MEWR itu juga menggesa orang ramai supaya melindungi keluarga dan orang tersayang dengan menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk.

Beliau turut mengusulkan agar orang ramai menonton dan mengongsi video terbitan NEA ini dengan orang lain supaya mereka juga dapat mempelajari cara-cara yang mudah untuk menghapuskan air yang bertakung di rumah.

Sumber : BERITA Mediacorp/AW/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan