Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes denggi di S'pura kini cecah 24,000, berbanding 16,000 bagi seluruh tahun lalu

Kes-kes denggi di Singapura kini sudah melepasi paras 24,000, iaitu jauh mengatasi jumlah sekitar 16,000 yang dicatat bagi keseluruhan tahun 2019.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kes-kes denggi di Singapura kini sudah melepasi paras 24,000, iaitu jauh mengatasi jumlah sekitar 16,000 yang dicatat bagi keseluruhan tahun 2019.

Demikian pemeriksaan BERITAmediacorp mengenai angka terbaru kes-kes denggi berdasarkan perangkaan yang tertera pada laman Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Ini peningkatan 50 peratus kes denggi di Singapura sejauh ini berbanding tahun lalu. Memandangkan masih ada empat lagi bulan sebelum akhir tahun, jumlahnya dijangka akan jauh lebih tinggi lagi.

Salah satu benteng penting untuk memerangi nyamuk dan penularan denggi adalah melepaskan nyamuk-nyamuk Wolbachia yang dilancarkan NEA sejak empat tahun lalu.

BERITAmediacorp diberi kebenaran untuk mengekori dan menyaksikan bagaimana proses pelepasan nyamuk itu dilakukan.

SEKITAR 300,000 NYAMUK DILEPASKAN SETIAP SESI

Dua kali seminggu, Mohamad Hazim Hasni dan rakannya Caleb Lee akan turun padang ke kawasan Yishun.

Pegawai Teknikal Kanan di NEA itu bertanggungjawab melepaskan nyamuk-nyamuk Aedes jantan yang membawa bakteria Wolbachia di daerah itu.

Ia sebahagian daripada Projek Wolbachia kendalian NEA sejak tahun 2016, yang kini sudahpun memasuki Fasa 5, dalam usaha Singapura memerangi penyakit denggi.

Setiap botol mengandungi 150 nyamuk-nyamuk jantan dengan bakteria Wolbachia.

Apabila dilepaskan, serangga-serangga itu akan mengawan dengan nyamuk-nyamuk betina, namun telur-telurnya tidak akan menetas.

Secara purata, sekitar 160 botol sedemikian dilepaskan oleh dua pegawai dalam setiap sesi dengan dua sesi dijalankan oleh 28 pegawai NEA setiap minggu.

Jadi, dianggarkan sekitar 300,000 ekor nyamuk Wolbacchia dilepaskan setiap sesi.

Encik Hazim berkata: "Nyamuk tersebut ini tidak boleh hidup lama di cuaca yang panas jadi kita harus memastikan nyamuk-nyamuk ini kita lepaskan di cuaca yang sejuk. Dengan itu kita akan dapat kesan yang bagus."

Hal tersebut bermakna operasi melepaskan nyamuk-nyamuk perlu dimulakan seawal jam 7.30 pagi lagi.

Nyamuk-nyamuk itu akan dilepaskan dari kolong-kolong blok dan dari tingkat teratas setiap blok flat HDB.

Bagi Encik Hazim dan rakan-rakannya, mereka dikerahkan untuk menjalankan projek ini di hampir 700 blok flat HDB di Yishun dan sekitar 770 blok HDB di Tampines.

"Saya dan pasukan saya harus mencari strategi yang paling baik untuk melepaskan nyamuk. Kita perlu cari di mana, berapa banyak dan bila untuk melepaskan nyamuk-nyamuk tersebut untuk mendapatkan kesan paling besar," katanya.

HASIL PROJEK WOLBACHIA BUAHKAN HASIL

Perangkaan NEA bagi Fasa 4 menunjukkan, pada Mei tahun ini bilangan nyamuk menjunam daripada sekitar 20-30 ekor kepada hanya dua ekor di setiap 100 Gravitrap yang dipasang. Gravitrap adalah alat yang digunakan untuk menangkap nyamuk.

Meski terbukti hasilnya dalam mengurangkan risiko jangkitan denggi, ia bukanlah jalan keluar muktamad, kata pegawai NEA itu.

"Projek Wolbachia ini bukan penyelesaian untuk penularan denggi. Kawalan vektor masih perlu kita lakukan dan peranan untuk masyarakat, mereka masih perlu lakukan 'Mozzie Wipeout'," kata Encik Hazim.

Kepentingan itu diakui para penduduk yang BERITAmediacorp temui.

"Kita semua jaga dan tiada takungan air, itu mungkin boleh mengurangkan kes-kes di Yishun," kata Encik Ahmad Luthfie.

Penduduk bernama Cik Mazni pula menambah bahawa perlunya "kita jaga kebersihan rumah" dengan memastikan tiada ada air bertakung" selain memerhatikan sekitaran rumah masing-masing.

Selain kawasan Yishun, Projek Wolbachia juga sedang dilaksanakan di lebih 200 blok flat di Chua Chu Kang, Keat Hong dan Hong Kah North.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan