Images
  • pusat nasional bagi penyakit berjangkit
    Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit.

Kes cacar monyet: 5 penduduk S'pura antara 23 orang dikuarantin

SINGAPURA: Lima penduduk Singapura adalah antara 23 orang yang dikuarantin selepas bersentuhan dengan pesakit monkeypox atau cacar monyet pertama di negara ini, menurut kemas kini Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (14 Mei).

"Berdasarkan siasatan dan pengesanan sentuh MOH sejauh ini, 23 inidividu sudahpun dikenal pasti sebagai mereka yang sudah bersentuhan dengan pesakit, dengan lima daripada mereka adalah penduduk Singapura," demikian menurut respons MOH kepada pertanyaan Mediacorp.

"Bakinya adalah dari Britain, India, Ireland, Malaysia, Nigeria dan Vietnam dengan kebanyakan daripada mereka turut hadir di bengkel yang disertai pesakit.

Menurut MOH lagi, sejauh ini, kesemua mereka tidak menunjukkan tanda-tanda dijangkiti penyakit tersebut.

Khamis lalu (9 Mei), Singapura mengesahkan kes monkeypox pertama yang dijangkiti oleh seorang warga Nigeria, 38 tahun, yang menghadiri sebuah bengkel di sini.

Lelaki tersebut disyaki dijangkiti penyakit tersebut setelah memakan daging haiwan liar di Nigeria, sebelum berangkat ke Singapura.

Beliau kini dirawat dalam wad berasingan di Pusat Penyakit Berjangkit (NCID).
"Beliau sedang beransur pulih dan dalam keadaan stabil," menurut MOH hari ini. "Beliau akan dikeluarkan sebaik saja pulih dan didapati tidak lagi membawa penyakit berjangkit."

Jangkitan cacar monyet atau monkeypox boleh berlaku apabila seseorang bersentuhan dengan darah, cecair dari tubuh badan atau luka dari haiwan seperti monyet atau tikus yang sudah dijangkiti. Virus itu juga boleh menular akibat memakan daging haiwan yang sudah dijangkiti dan tidak dimasak dengan betul.

Jangkitan antara manusia boleh berlaku akibat bersentuhan dengan cecair dari saluran pernafasan, tersentuh luka orang yang membawa virus atau objek yang dijangkiti oleh cecair tubuh pesakit.

Tanda-tanda jangkitan termasuk demam, rasa sengal, nodus limfa yang bengkak dan rasa seram sejuk. 

- CNA/SM/sm

Top