Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes cacar monyet: 4 kakitangan Hotel 81 dikuarantin

Bilik hotel di mana seorang pesakit pertama di sini terkena jangkitan monkeypox atau cacar monyet sudahpun menjalani proses pembasmian kuman.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes cacar monyet: 4 kakitangan Hotel 81 dikuarantin

Hotel 81 Orchid, terletak di 21 Lorong 8 Geylang, di mana pesakit warga Nigeria menginap.

Diterbitkan : 15 May 2019 05:51PM Dikemas Kini : 15 May 2019 05:54PM

SINGAPURA: Bilik hotel di mana seorang pesakit pertama di sini terkena jangkitan monkeypox atau cacar monyet sudahpun menjalani proses pembasmian kuman. Demikian menurut seorang jurucakap Hotel 81 Orchid dalam kenyataan medianya pada Rabu (15 Mei).

Pesakit warga Nigeria berusia 38 tahun itu menginap di hotel tersebut sebelum beliau dimasukkan ke hospital. Beliau dipercayai menghidapi jangkitan yang jarang-jarang berlaku itu setelah memakan daging haiwan liar di negaranya.

Hotel berkenaan menyatakan Kementerian Kesihatan (MOH) memaklumkannya pada 9 Mei lalu bahawa salah seorang pelanggannya mungkin didiagnos dengan cacar monyet.

"Meskipun MOH menyatakan kemungkinan jangkitan berlaku adalah rendah, sebagai langkah berjaga-jaga, kami dengan segera menutup sepenuhnya tingkat di mana terletaknya bilik pelanggan berkenaan," tambah jurucakap itu.

"Kami sudahpun bekerjasama dengan MOH dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk membasmi kuman di bilik hotel tempat pesakit itu menginap."

Empat kakitangan hotel yang dikenal pasti sebagai berada rapat dengan pesakit terlibat juga dikenakan kuarantin. Jurucakap hotel itu berkata pihaknya "akan terus bekerjasama" dengan pihak berkuasa.

Pada Selasa, MOH menyatakan 23 orang yang dikenal pasti sebagai berada dekat dengan pesakit Nigeria itu sudahpun dikuarantin termasuk lima warga Singapura. Bagaimanapun sehingga malam Isnin, menurut MOH, kesemuanya tidak menunjukkan sebarang simptom.

Cacar monyet boleh merebak apabila seseorang bersentuhan langsung dengan darah, cecair dari tubuh badan atau luka dari haiwan yang sudah dijangkiti seperti monyet dan tikus. Ia juga boleh dijangkiti apabila memakan daging haiwan-haiwan sedemikian yang tidak dimasak dengan betul.

Virus itu juga boleh merebak dari manusia ke manusia jika berada dekat dengan individu yang sudah dijangkiti atau menerusi objek yang tercemar oleh cecair tubuh individu berkenaan.

Simptom-simptomnya termasuklah inflamasi kulit, demam, sakit otot, nodus limfa yang bengkak dan menggigil.

MOH menambah penyakit itu lazimnya ada keterbatasannya dengan kebanyakan pesakit pulih dalam masa dua hingga tiga minggu.

Pesakit warga Nigeria itu tiba di Singapura pada 28 April dan mengalami simptom-simptom sedemikian dua hari kemudian. Beliau diuji positif cacar monyet pada 8 Mei.

Beliau sedang dirawat di wad berasingan di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID). MOH menyatakan pada Selasa bahawa lelaki berkenaan "sedang sembuh dengan baik dan dalam keadaan stabil." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan