Images
  • orchard towers murder
    Kertas tisu berdarah di pintu masuk Orchard Towers pada 2 Julai 2019. (Gambar: 8world News/Cai Youxia)

Kes bunuh Orchard Towers: Tuduhan bunuh terhadap 3 suspek digugurkan

Tujuh orang yang dikenakan tuduhan atas pembunuhan seorang lelaki 31 tahun di Orchard Towers pada Selasa minggu lalu (2 Jul) dihadapkan kembali ke mahkamah pada Khamis (11 Jul), dengan tiga antara mereka kini dikenakan tuduhan yang ringan sedikit.

Tuduhan-tuduhan atas kesalahan membunuh yang dikenakan terhadap Tan Hong Sheng, 22 tahun, Chan Jia Xing, 26 tahun, dan Loo Boon Chong, 25 tahun, sudah digugurkan.

Tuduhan-tuduhan terhadap mereka digantikan dengan tuduhan atas kesalahan berhubungan dengan seseorang yang membawa senjata berbahaya.

Menurut kertas pertuduhan, tiga lelaki itu didakwa mendampingi tertuduh bersama Tan Seng Yang di kelab malam Naughty Girl Club pada 2 Julai. Tan didakwa membawa pisau lipat lengkuk ketika itu.

Loo diwakili oleh peguam bela Diana Ngiam dan Sujesh Anandan dari firma guaman Quahe Woo & Palmer sementara peguam-peguam Josephus Tan, Cory Wong dan Shane Yeo membela Tan Hong Sheng dan Chan setelah mengambil alih perwakilan Chan dari peguam John Koh.

Ketiga-tiga lelaki itu didakwa bersama dengan tiga lagi lelaki dan seorang wanita atas pembunuhan Encik Satheesh Noel Gobidass di Orchard Towers pada 2 Jul.

Empat lagi suspek ialah Tan Sen Yang, 27 tahun, Ang Da Yuan, 26 tahun, Joel Tan Yun Sheng, 26 tahun, dan Natalie Siow Yu Zhen, 22 tahun.

Siow diwakili oleh peguam Cheryl Ng dari Intelleigen Legal dan Amarick Gill, sementara Joel Tan juga diwakili oleh para peguam dari Invictus Law Corporation, yang diterajui peguam bela Josephus Tan.

Keempat-empat suspek dikenakan tuduhan atas kesalahan membunuh dengan niat. Mereka didakwa berhimpun secara haram dengan niat untuk mencederakan Encik Satheesh, dan menyebabkan kematiannya di pintu masuk Orchard Towers sekitar 6.30 pagi pada 2 Jul.

Para pegawai polis yang memberi respons kepada panggilan kecemasan pagi itu menemui mangsa terbujur kaku di tempat kejadian. Encik Satheesh dikejarkan ke hospital di mana beliau disahkan meninggal dunia.

Rakaman video tertutup CCTV yang diperoleh Mediacorp menunjukkan seorang lelaki berjalan perlahan di hadapan tangga bergerak sebelum dia rebah. Ini menyebabkan orang ramai di sekelilingnya tampil menolongnya.

Hakim Daerah Terence Tay mengarahkan supaya tiga lelaki tersebut yang digugurkan tuduhan membunuh tidak diizinkan menghubungi tertuduh, rakan-rakan subahat mereka atau mana-mana saksi pihak pendakwa.

Tan Hong Sheng dan Chan Jia Xing ditawarkan ikat jamin S$25,000 sementara peguam Diana Ngiam berjaya berhujah supaya anak guamnya Loo ditawarkan ikat jamin S$15,000.

Cik Ngiam memberitahu hakim bahawa Loo tidak berisiko akan melarikan diri, dan dia pergi ke balai polis secara sukarela untuk membantu siasatan, dan dia akan dijamin oleh salah seorang ibu bapanya.

Pihak pendakwa berjaya dalam permohonannya supaya Tan Sen Yang ditahan reman kerana dia dipercayai terlibat dalam kesalahan-kesalahan lain, sementara Joel Tan dan Ang Dayuan direman di Kompleks Perubatan Changi untuk menjalani penilaian psikiatrik.

Hakim Tay mengarahkan supaya Siow ditahan reman di Penjara Wanita Changi selama tiga minggu untuk menjalani penilaian psikiatrik.

Jika sabit kesalahan, para suspek yang dikenakan tuduhan membunuh dengan niat boleh menghadapi hukuman mati.

Mereka yang didapati bersalah membawa senjata berbahaya di tempat awam boleh dihukum penjara hingga tiga tahun dan dikenakan sekurang-kurangnya enam sebatan.

- CNA/ZM/zm

Top