Images
  • orchard tower
    Petikan gambar Google Street View di Orchard Towers. 

Kes bunuh Orchard Towers: AGC arah polis siasat dakwaan 'palsu, tidak berasas' layanan istimewa pesalah berdasarkan kaum

SINGAPURA: Pejabat Peguam Negara (AGC) pada Jumaat (16 Okt) menyangkal dakwaan dibuat di media sosial bahawa individu yang terbabit dalam kes kematian di Orchard Towers menerima layanan istimewa dalam menentukan hukuman disebabkan faktor kaum.

AGC mengarah polis untuk menyiasat mereka yang bertanggungjawab di sebalik catatan di media sosial berkenaan yang "berpotensi mengundang 'contempt of court' atau menghina mahkamah".

"Pejabat Peguam Negara maklum akan catatan di media sosial yang mendakwa layanan istimewa diberikan terhadap individu-individu yang terbabit dalam kes kematian Satheesh Noel Gobidass, 31 tahun, di Orchard Towers pada 2 Jul 2019 disebabkan oleh faktor kaum mereka," kata AGC dalam satu kenyataan media.

"Sebarang dakwaan bahawa mahkamah menentukan hukuman terhadap pesalah berdasarkan kaum, dan mengenakan hukuman lebih berat jika mereka dari kaum minoriti, adalah tidak benar dan tidak berasas."

7 INDIVIDU SEBELUM INI DIDAKWA ATAS TUDUHAN MEMBUNUH

Enam daripada tujuh orang yang sebelum ini didakwa dengan kesalahan membunuh Encik Satheesh, dikurangkan tuduhan yang dikenakan.

Dua daripada mereka sebelum ini dituduh kerana membunuh dan dibicarakan di mahkamah dengan tuduhan dikurangkan pada minggu lalu, dengan seorang daripadanya dikenakan hukuman penjara lima bulan dan seorang lagi diberi amaran bersyarat.

Chan Jia Xing diberi amaran bersyarat pada Khamis (15 Okt) bagi tuduhan yang dikurangkan kerana bersubahat dengan individu yang memiliki senjata berbahaya.

Satu-satunya wanita dalam kes itu, Natalie Siow Yu Zhen, dikenakan hukuman penjara selama lima bulan pada 9 Okt. Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan setiap satu kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan niat bersama dan bersubahat dengan individu yang memiliki senjata berbahaya.

Pada Mac, seorang lagi tertuduh, Joel Tan Yun Sheng dikenakan hukuman penjara empat minggu kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan niat bersama.

Ang Da Yuan dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan enam sebatan kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja apabila dia menendang dan menumbuk mangsa, dan bersubahat dengan Tan Sen Yeng, satu-satunya tertuduh yang berdepan tuduhan membunuh.

Tan Hong Sheng dan Loo Boon Chong dikurangkan tuduhan, dari tuduhan membunuh kepada bersubahat dengan individu yang membawa senjata berbahaya. Kes-kes mereka masih menunggu dibicarakan.

AGC menyatakan keenam-enam individu itu dikurangkan tuduhan kerana mereka "didapati tidak terbabit dalam menyebabkan kematian mangsa".

"Tidak pun berlaku pada bila-bila masa apabila Polis dan AGC mengambil kira kaum mangsa dan ketujuh-tujuh individu itu dalam pertimbangan untuk menentukan hukuman," katanya.

AGC juga menyatakan hukuman yang dikenakan terhadap Joel Tan, Siow dan Ang adalah sejajar dengan garis panduan hukuman bagi tuduhan yang dikenakan terhadap mereka sementara Chan hanya diberi amaran kerana "dia cuba menghentikan serangan terhadap mendiang" dan memberi kerjasama dalam siasatan dengan polis.

Chan mungkin berdepan tuduhan bersubahat jika dia melakukan kesalahan jenayah semasa tempoh amaran selama 12 bulan.

"Dakwaan bahawa terdapat layanan istimewa terhadap kaum berbeza adalah tidak berasas dan berpotensi menjejas keharmonian kaum di Singapura, menyebabkan perpecahan yang tidak dapat dipulihkan dalam masyarakat kita," demikian menurut kenyataan itu.

"AGC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang."

- CNA/HA/ha

Top