Images
  • peti
    Peti-peti surat terenggang di Blok 621 Bedok Reservoir Road. (Gambar: @tanhuiyi/Twitter)

Kerosakan mekanikal punca peti surat terenggang di Bedok

SINGAPURA: Peti-peti surat di sebuah blok perumahan di Bedok terenggang disebabkan oleh kerosakan mekanikal pada mekanismenya, menurut Singapore Post (SingPost) pada Isnin (11 Feb).

Insiden itu mula dibangkitkan oleh seorang pengguna Twitter Tan Hui Yi pada Jumaat lalu. Cik Tan memuat naik gambar-gambar peti surat yang terenggang di Blok 621 Bedok Reservoir Road.

"Posmen tidak mengunci peti-peti surat di Blok 621 Bedok Reservoir Road," menurutnya.

"Peti-peti surat itu terenggang dan sesiapa saja boleh mengakses surat-surat di dalam peti surat para penduduk."

Menjawab kiriman tweet beliau, SingPost menyatakan bahawa seorang lagi penduduk sudah menghubungi pihaknya berhubung perkara itu, dan Inspektor Post dengan 'serta merta mengunci peti-peti surat".

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp pada Isnin, seorang jurucakap SingPost berkata: "Pihak kami dimaklumkan mengenai perkara itu oleh seorang pelanggan pada jam 8.20 malam pada 8 Feb 2019.

"Kami dengan serta merta mengerahkan Inspektor Pos untuk menyiasat. Apabila tiba di lokasi pada jam 9.00 malam, Inspektor Pos mendapati bahawa terdapat kerosakan pada mekanisme peti surat dan melakukan pembaikan sementara untuk menguncinya."

SingPost menambah bahawa ia sudah mengerahkan satu lagi pasukan untuk membaikinya.

- CNA/NA/na

Top