Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerjasama S'pura-China berpandukan 3 prinsip utama, kata Heng Swee Keat

Kerjasama antara Singapura dengan China terus berkembang, mengambil kira keutamaan pembangunan dan keupayaan kedua-dua negara, kata Menteri Kewangan Singapura Heng Swee Keat.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Nov 2017 09:44PM Dikemas Kini : 25 Nov 2017 09:48PM

BEIJING: Kerjasama antara Singapura dengan China terus berkembang, mengambil kira keutamaan pembangunan dan keupayaan kedua-dua negara, kata Menteri Kewangan Singapura Heng Swee Keat.

Berucap kepada sekitar 200 pelajar tempatan dan antarabangsa di Universiti Tsinghua di Beijing hari ini (25 Nov), Encik Heng juga menggariskan bidang-bidang yang boleh diceburi kedua-dua negara ini kelak.

Bidang yang disebutkan termasuk perdagangan, inovasi, kewangan, hubungan rakyat kedua-dua negara dan kemampanan sekitaran.

Namun, Encik Heng akui terdapat banyak peluang dan cabaran jangka panjang yang boleh menjejas ekonomi dunia.

Ini termasuk ekonomi-ekonomi utama yang perlu menangani penduduk yang semakin menua, serta pertumbuhan daya penghasilan yang perlahan, walaupun ada teknologi-teknologi baru yang mewujudkan industri dan nilai baru.

Encik Heng menambah, di banyak negara, ada juga jurang masyarakat yang semakin melebar dengan perpaduan sosial menjadi lemah.

"Ini semua cabaran jangka panjang yang mendalam, rumit, yang dihadapi banyak negara pada tahap yang berbeza. Pada masa yang sama, setiap negara juga berdepan dengan cabaran-cabaran unik masing-masing," kata Encik Heng.

"Cabaran-cabaran dan peluang yang dihadapi Singapura dan China ada mempunyai elemen-elemen yang sama mahupun berbeza. China sudah tentu lebih besar dari Singapura. Tapi, kita boleh kerjasama bersama untuk membina masa depan yang lebih cerah,"

KERJASAMA ATAS 3 PRINSIP

Encik Heng berkata kerjasama dua hala Singapura/China berpandukan tiga prinsip.

Ini termasuk bergerak seiring dengan masa dan kekal relevan, meneroka peluang baru dan memanfaatkan kekuatan satu sama lain serta membentuk kerjasama yang saling menguntungkan.

Dalam hal ini, Encik Heng berkata kedua-dua negara perlu mengekalkan sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka, yang menggalak pergerakan barangan dan perkhidmatan merentasi sempadan.

Ini harus dilakukan meskipun terdapat kebimbangan terhadap masalah pekerjaan kerana globalisasi, yang mendorong beberapa negara yang memilih pendekatan bersifat perlindungan atau perdagangan dua hala.

"Pendekatan ini memberi negara-negara skop lebih besar untuk membuat peralihan antara sektor-sektor yang berbeza, dan mencapai perjanjian yang saling menguntungkan," kata Encik Heng.

Sebagai pengerusi ASEAN tahun depan, Encik Heng berkata Singapura komited untuk memuktamadkan Perkongsian Menyeluruh Ekonomi Serantau.

Singapura dan China juga perlu perlu meningkatkan peluang bagi kerjasama dan pertukaran ilmu pengetahuan, kata Encik Heng, terutama sekali kerana inovasi dapat memacu pertumbuhan jangka panjang.

Kerjasama kewangan juga penting, tambah beliau dalam menyalurkan modal bagi perusahaan-perusahaan berganding bahu dan memanfaatkan peluang baru, inovasi dan teroka ke pasaran negara lain.

Dengan hab kewangan yang kukuh dan pusat perkhidmatan profesional, Encik Heng menekankan Singapura akan menyokong perniagaan di sepanjang Jaluran Ekonomi Laluan Sutera, China.

"Matlamat utama kami sebenarnya adalah untuk membina kehidupan dan tempat tinggal lebih baik untuk rakyat kita," jelas Encik Heng.

Beliau menambah, pada peringkat nasional, ini bermaksud membuat perancangan jangka panjang, dan melaksanakan perubahan struktur serta menggubal dasar-dasar yang mengutamakan rakyat.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan