Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerja naik taraf tangga bergerak di stesen MRT berjalan lembab, hanya 25% selesai

Kerja-kerja menaik taraf tangga bergerak di 42 stesen MRT sepanjang Laluan Utara-Selatan (NSL) dan Laluan Timur-Barat (EWL) bermula agak lembab dengan sekitar suku sahaja daripada projek berkenaan diselesaikan setakat ini. Demikian menurut SMRT pada Rabu (15 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Kerja naik taraf tangga bergerak di stesen MRT berjalan lembab, hanya 25% selesai

Dinding adang keselamatan diletakkan di stesen MRT Ang Mo Kio sedang kerja pembaikan tangga bergerak dijalankan. (Gambar: SMRT)

Diterbitkan : 15 May 2019 10:52PM Dikemas Kini : 15 May 2019 11:01PM

SINGAPURA: Kerja-kerja menaik taraf tangga bergerak di 42 stesen MRT sepanjang Laluan Utara-Selatan (NSL) dan Laluan Timur-Barat (EWL) bermula agak lembab dengan sekitar suku sahaja daripada projek berkenaan diselesaikan setakat ini. Demikian menurut SMRT pada Rabu (15 Mei).

Projek pembaikan lima tahun itu, yang bermula pada bulan Ogos 2016, melibatkan peningkatan 233 tangga bergerak.

Sebanyak 54 sudahpun diubah suai sepenuhnya sementara kerja pembaikan di 21 tangga bergerak lain masih dijalankan.

SMRT menyatakan: "Kebanyakan kerja pembaikan akan siap menjelang hujung 2021 manakala ada di antaranya mungkin selesai selepas tarikh itu."

Ini merupakan kerja pembaikan besar-besaran pertama bagi tangga-tangga bergerak sejak MRT mula beroperasi pada 1987. Ciri-ciri keselamatan baru yang dipasangkan termasuk alat memantau kelajuan susur tangan tangga bergerak dan pelindung skirt selain lampu isyarat arah serta fungsi dwi-kelajuan.

Kerja naik taraf dirintiskan di empat stesen MRT - Ang Mo Kio, Tanah Merah, Tiong Bahru serta Tanjong Pagar - dan ia mengambil masa sekitar lapan bulan untuk selesai.

"Kemajuannya lembab bagi tahun pertama projek itu kerana Otis perlu membangunkan sebuah rancangan kerja pembaikan yang khusus," menurut SMRT sambil merujuk kepada syarikat yang memenangi tender bagi projek berkenaan.

Bagi kes yang tidak rumit, tambah SMRT, ia mengambil masa sekitar empat bulan untuk menambah baik tangga bergerak. Bagaimanapun, ia mungkin memakan masa lebih panjang jika terdapat isu-isu tambahan setelah tangga bergerak itu ditanggalkan sepenuhnya.

"Kerja-kerja pembaikan tangga bergerak meliputi penanggalan, pemasangan dan pertukaran lebih 1,000 bahagian serta komponen penting," jelas SMRT lagi.

Naib Presiden pasukan pembangunan dan kemudahan SMRT, Siu Yow Wee, berkata: "Bersama-sama dengan Otis, kami sedang melakukan yang terbaik untuk mengurangkan kesulitan kepada para penumpang sedang kami menaik taraf tangga-tangga bergerak.

"Pada satu-satu masa, kerja pembaikan akan dijalankan ke atas satu tangga bergerak di setiap stesen kecuali untuk stesen yang lebih besar dengan lebih banyak tangga bergerak." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan