Images

Keris diberi nafas baru di kota kosmopolitan S'pura

BERITAmediacorp: Tahukah anda kini wujud apa yang dipanggil 'Keris Singapura'?

Seorang tokoh keris tempatan pula pernah menempah sebilah keris baru berharga S$30,000 untuk dijadikan warisan turun temurun.

Keris sudah berusia ratusan tahun, malah mungkin lebih 1,000 tahun, dalam dunia Melayu.

Dengan ciptaan dunia Melayu dan Nusantara ini dijulang sebagai suatu adikarya dan warisan kemanusiaan UNESCO pada 2005, keris mungkin akan hidup 1,000 tahun lagi.

Di kota kosmopolitan Singapura, senjata dan 'pakaian' Melayu ini juga terus rancak diberi nyawa dengan adanya pencinta keris seperti Encik Khairi Johari.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Pengumpul dan tokoh keris Singapura ini mempunyai lebih 700 bilah keris dalam koleksinya.

Yang pasti, ketinggian ilmu sains, falsafah dan lambang peradaban Melayu yang terdapat pada keris itulah yang menjadikannya seorang pejuang keris.

"Dalam pembuatan keris itu sendiri, memang mempunyai banyak unsur-unsur saintifik moden. Jika kita menelitinya dan memperhatikan cara pembuatannya dan kita mengaplikasikan ilmu-ilmu sains moden dari segi ilmu 'metalogy' - ilmu besi, suhu panas, bagaimana ia membentuk, dan juga mencerminkan kekuatan sesuatu bilah keris.

"Setiap bahagian perlengkapan keris ini mempunyai bahagian-bahagian sangat unik, dan jika kita mengaplikasikan kaedah-kaedah formula matematik seperti 'pythagoras theorem' dan 'golden ratio', ini sangat-sangat menonjol ada unsur-unsurnya pada keris. Jadi tidak mungkin ini terjadi secara tidak sengaja," kata Encik Khairi yang juga telah membangunkan laman Facebook 'The Keris Collector' untuk memberi maklumat tentang dunia perkerisan.

TEMPAH KERIS S$30,000 UNTUK...

Begitu mendalam minat Encik Khairi kepada keris sehingga mendorongnya membuat suatu pelaburan cukup besar untuk menempah khas sebilah keris baru dari Kelantan, Malaysia dengan kos S$30,000. Keris yang ditempah pada 2007 itu adalah yang termahal dalam koleksinya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Saya anggap ini sebagai satu seni yang bakal saya wasiatkan pada keturunan saya. Salah satu uniknya keris ini sebab saya perlu menunggu, tiga tahun untuk siap. Dan kedua, tatahnya adalah emas dan batu merah delima, yang kalau diuji dari segi batu permata, grednya adalah 'AAA' dan emasnya jenis 916.

"Satu lagi yang unik jika anda perhatikan, seni pembuatannya itu iaitu jenis seni tebuk. Ia amat halus dan ini bukan digunakan mesin dan digunakan dengan tangan dan juga ketelitian pengukirnya untuk mengukirkan corak bunga-bunga Melayu yang tradisional," jelas bapa kepada tiga orang cahaya mata itu.

Keris berharga itu juga digayakan Encik Khairi semasa hari persandingannya, 10 tahun lalu.

"Bangga saya kongsikan, ini adalah jenis yang pertama yang diciptakan seperti ini. Sebab sebelum ini, memang tidak ada contoh seperti ini yang pernah diketemui ataupun dibukukan. Sebenarnya keris ini, niat saya tempuh sebagai satu lambang pembaharuan."

Seorang lagi tokoh keris tempatan ialah Syed Adni Aljunied. Pemilik kedai barangan antik Malay Art Gallery ini sudah lebih 20 tahun menjadi pengumpul dan penjual keris.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Dalam soal keris, beliaulah antara pakar rujuk utama di Singapura.

Antara keris di dalam koleksinya termasuklah dari jenis-jenis seperti Keris Bugis, Keris Jawa, Keris Melayu, dan Keris Thailand serta Keris Bali yang masih mempunyai pengaruh Hindu dalam reka bentuknya.

UKIR SEJARAH DENGAN CIPTAAN 'KERIS S'PURA'

Syed Adni kini punya satu misi besar mahu memartabatkan Singapura dalam dunia keris - iaitu mencipta apa yang dipanggil 'keris Singapura'.

Hakikatnya, memang tiada keris yang dipanggil 'jenis Singapura' setakat ini.

Jadi usaha Syed Adni itu boleh dianggap suatu percubaan untuk membuat penerobosan baru dalam dunia keris.

Ikon negara - iaitu Merlion - diambil sebagai hulu 'keris Singapura' itu.


(Gambar: Syawal Yusoff)

Diperbuat daripada bahan gentian yang mempunyai corak seperti gading, setiap hulu Merlion itu diukir dengan tangan dan tidak menggunakan mesin.

Menurut Syed Adni, hak cipta 'keris Singapura' itu telah dirasmikan dan pengiktirafan dari pihak-pihak berkuasa juga sudah diperolehi.

Ditanya mengapa 'Merlion' menjadi pilihan untuk membuat hulu keris tersebut, ini jawapan beliau.

"Nasib kita baik, Merlion ini bila kita genggam di tangan kita ini, dia sedap digenggam. Sisik-sisik yang ada di badannya itu membuat kita punya genggaman lebih sedap."

Menurut Syed Adni, beliau sudah menempah 14 keris Singapura ini untuk pelanggannya sejak dua tahun lalu.

Yang pasti, cara pembuatannya mengikut cita rasa tradisional dan kaedah tradisional.

"Keris Singapura ini harus kita memesan mengikut cara lama. Mengikut cara hidup orang itu. Orang itu adalah seorang yang lahir di Singapura. Kemudian dari situ, kita tinjau balik. Apa pekerjaannya, apakah statusnya dalam masyarakat," ujar Syed Adni.

Jelas, apa yang ditunjukkan Encik Khairi dan Syed Adni adalah keberanian: - keberanian untuk menjulang tradisi dengan suatu pembaharuan, berbekalkan cita rasa tinggi mereka, setelah meraih ilmu mendalam dalam dunia keris.  

- BERITAmediacorp/sy

Top