Images
  • Fire
    Sebuah kereta terbakar di tempat letak kenderaan Pasar Geylang Serai. (Gambar: Petikan dari video)

Kereta terbakar di tempat letak kenderaan Pasar Geylang Serai; punca sedang disiasat

SINGAPURA: Sebuah kereta di tempat letak kenderaan di Pasar Geylang Serai terbakar pada Sabtu (6 Mac).

Demikian disahkan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) kepada BERITAmediacorp sekitar pukul 8.15 pagi ini (7 Mac).

Menurut SCDF, ia menerima panggilan yang memaklumkan tentang kebakaran di Tempat Letak Kereta 2A Geylang Serai pada pukul 5.15 petang semalam.

Menurut SCDF, kebakaran itu melibatkan sebuah kereta.

Kebakaran berjaya dipadamkan dengan menggunakan 1 hos.

Tiada seorang pun yang cedera dalam insiden itu.

SCDF menambah, punca kebakaran sedang disiasat.

Rakaman video kebakaran itu turut dikongsi di laman Facebook SG Road Vigilante - SGRV dan aplikasi WhatsApp malam semalam.

Ia menunjukkan sebuah kereta dijilat api yang besar.

Sebahagian kawasan tempat letak kereta itu juga kelihatan gelap diselimuti asap hitam.

Pada satu ketika, dapat dilihat dan didengar satu letupan kuat dan beberapa orang yang berdiri berdekatan orang yang merakam video itu turut terkejut.

Suara seorang wanita juga kedengaran seperti sedang menangis dan mengatakan sesuatu namun kurang jelas apa yang diungkapkannya.


Satu lagi rakaman video yang dikirimkan menerusi WhatsApp menunjukkan kepulan asap hitam keluar daripada bahagian bumbung Pasar Geylang Serai.

Perakam video itu mengatakan: "Pasar Geylang, saya tidak tahu, terbakar. Terdapat asap besar daripada Pasar Geylang Serai. Sekarang pukul 5.28 hari Sabtu. Asap tebal di Pasar Geylang." 


- BERITAmediacorp/nk

Top