Images
  • accident 1
    Gambar nahas pada sebelah petang 11 Januari 2019 yang tular di media sosial menunjukkan serpihan-serpihan bertempiaran di jalan raya. 

Kereta rempuh penunggang motosikal di Lebuhraya Linkedua; 7 dikejar ke hospital

JOHOR BAHRU: Tujuh penunggang motosikal dihantar ke hospital pada Jumaat (11 Jan) selepas dilanggar sebuah kereta. Kejadian itu berlaku pada sekitar 5.00 petang ketika mereka sedang berteduh di bawah jambatan di Lebuhraya Linkedua semasa hujan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Dzulkhairi Mukhtar ditukil oleh laman berita Malaysia, BH Online bahawa kemalangan itu berlaku di Kilometer 5.2 Lebuhraya Linkedua menghala ke arah utara.

BH Online memetik beliau sebagai berkata kereta itu dipandu oleh seorang lelaki rakyat Singapura berusia 52 tahun. Pemandu berkenaan gagal mengawal keretanya itu akibat memandu dalam lopak air, sebelum terbabas dan berpusing melanggar pembahagi tepi jalan.


Menurut laporan Harian Metro, kereta jenis Nissan Grand Livina itu sedang dalam perjalanan dari Singapura ke Johor Bahru.

"Kenderaan itu merempuh tujuh motosikal yang berteduh di bawah jambatan kerana hujan lebat,” kata Encik Dzulkhairi.

Gambar nahas tersebut yang tular di media sosial pada sebelah petang Jumaat (11 Jan) menunjukkan serpihan-serpihan bertempiaran di jalan raya.

Kesemua penunggang motosikal itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah kerana mengalami kecederaan ringan. 

- CNA/Agensi berita/AI/ai

Top