Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerbside & Co: Jeans, denim buatan S'pura yang setanding mutu jenama antarabangsa

Ciptaan/Buatan Singapura: Jeans dan denim buatan anak Melayu bernama Fahmy Ismail ini sudah menembusi pasaran di Amerika Syarikat dan Eropah, sekali gus mengibarkan bendera S'pura dalam dunia fesyen jeans. "Saya rasa anda boleh bersaing dengan jenama-jenama gergasi dalam industri ini," kata beliau.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tahukah anda bahawa ada jenama seluar jeans dan pakaian denim milik anak Melayu Singapura yang kini sudah menembusi pelanggan sejauh Amerika Syarikat dan Eropah?

Itulah pencapaian Kerbside & Co milik pereka fesyen Fahmy Ismail - suatu jenama yang mengibarkan bendera Singapura dengan bersaing dari segi mutu dan estetika dalam dunia pembuatan jeans dan denim.

Kerbside & Co adalah syarikat anak Melayu/Islam ketiga dalam siri khas 'Ciptaan atau Buatan Singapura' yang BERITAmediacorp tonjolkan sempena Hari Kebangsaan.

UKIR NAMA DI PERSADA FESYEN ANTARABANGSA

Denim merupakan fabrik busana lasak yang seringnya dikaitkan dengan jenama-jenama fesyen dari Amerika Syarikat ataupun Jepun.

Namun di kota kecil Singapura, jenama Kerbside & Co milik Encik Fahmy Ismail kian mencipta nama. Bahkan kualitinya diakui setanding dengan jenama-jenama antarabangsa yang kaya dengan warisan pakaian denim.

Tanpa bantuan seorang pun kakitangan, Encik Fahmy tidak gentar menguruskan perniagaannya seorang diri. Malah Kerbside & Co berjaya menembusi pasaran antarabangsa sejak ia ditubuhkan pada 2016.

Sehingga kini, 70% pelanggan jenama anak watan ini dari Amerika Syarikat dan 20% pula adalah dari Eropah dan negara-negara Asia.

"Apabila para pelanggan saya mendapat tahu bahawa jenama saya adalah jenama Singapura, mereka agak tertarik kerana mutu dan gaya pakaian agak sama tarafnya dengan jenama-jenama Amerika Syarikat dan Eropah," kata Encik Fahmy Ismail.

"Saya bukan ingin membuktikan diri saya tetapi saya percaya bahawa jeans tidak semestinya daripada jenama Amerika Syarikat. Saya rasa anda boleh bersaing dengan jenama-jenama gergasi dalam industri ini," tambahnya.

JEANS BERMUTU TINGGI, EKSKLUSIF

Rangkaian produk Kerbisde & Co. sebenarnya mensenyawakan gabungan gaya fesyen ‘vintage Americana’, jenama fesyen perlahan atau 'slow fashion' sangat eksklusif dan memberi tumpuan kepada kehalusan kerja tangan.

Harga pakaiannya pula boleh mencecah sehingga S$300 sehelai. Kini sebahagian besar penjualannya dilakukan secara online.

Yang pasti Encik Fahmy mempunyai matlamat tinggi untuk mewakili Singapura di persada fesyen antarabangsa.

Sebagaimana dibuktikan menerusi Kerbside & Co, Encik Fahmy juga berharap agar lebih banyak jenama fesyen Singapura akan cuba mengukir nama ke luar negara. Tekan beliau:

"Saya mahu menjadi jenama Singapura yang mereka akan bawa dan letakkannya bersebelahan dengan jenama-jenama terkemuka."

Bagi para pemilik jenama tempatan yang ingin menyebarkan sayap ke luar negara, berikut nasihat Encik Fahmy:

"Jika anda mempunyai ciri tersendiri, anda boleh menghasilkan produk yang berlainan daripada apa yang sering dilihat di pasaran fesyen besar-besaran. Anda perlu keluar dan mengorak langkah, mungkin ke Amerika Syarikat, satu pasaran yang baik atau boleh bermula dengan rantau Asia.

"Anda mungkin tidak boleh bersaing dari segi harga namun anda mampu bersaing dengan gaya, rekaan dan mutu yang anda curahkan ke dalam produk-produk anda."

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan