Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keputusan PSLE: 98.8% murid madrasah layak naik ke peringkat menengah

98.8 peratus murid madrasah yang menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini, layak melangkah ke peringkat menengah.

Anggaran Waktu Membaca:
Keputusan PSLE: 98.8% murid madrasah layak naik ke peringkat menengah

(Gambar: BERITAmediacorp/Afiqah Hussain)

SINGAPURA: 98.8 peratus murid madrasah yang menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini, layak melangkah ke peringkat menengah.

Malah, keputusan PSLE bagi madrasah di bawah sistem penskoran baru itu lebih baik daripada purata nasional. Di peringkat nasional, 98.4 peratus pelajar berjaya melangkah ke sekolah menengah kali ini.

Prestasi sektor madrasah ini juga merupakan yang kedua terbaik sejak tahun 2014.

Keputusan terbaik sejak sekitar sedekad lalu adalah pada 2019 di mana 99.6 peratus murid PSLE madrasah berjaya mara ke sekolah menengah.

Untuk tahun ini, ia lebih baik dan pertambahan 0.3 peratusan mata berbanding keputusan tahun 2020.

Seramai 352 pelajar madrasah menduduki peperiksaan nasional itu kali ini. Ini bermakna, 348 daripada mereka lulus PSLE.

Satu lagi perkembangan menggembirakan tahun ini ialah Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah berjaya memenuhi ukur tara minimum Kementerian Pendidikan buat tahun kedua berturut-turut.

Maka itu, madrasah itu kini dibolehkan menerima semula kohort baru murid Darjah 1.

Mengulas keputusan PSLE sektor madrasah itu menerusi satu kenyataan media, Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) Kadir Maideen berkata:

"Walaupun ini satu lagi tahun mencabar, madrasah-madrasah kita mencatat prestasi baik di bawah sistem pemarkahan baru PSLE. Ia merupakan satu perjuangan sukar mengendalikan COVID-19 dan bersedia bagi peperiksaan itu.

"Bagaimanapun para pemimpin, guru dan pelajar madrasah serta ibu bapa menunjukkan daya bingkas walaupun ada cabaran. Kami bangga dengan tahap kerjasama dan kerja keras yang ditunjukkan semua pihak.

"Saya khususnya mengucapkan terima kasih kepada para guru madrasah kita yang bekerja tanpa mengenal erti penat untuk mempersiapkan para pelajar bagi PSLE."

Berikut adalah peratusan murid PSLE madrasah yang layak ke sekolah menengah sejak 2014:

2021 - 98.8%
2020 - 98.5%
2019 - 99.6%
2018 - 96.8%
2017 - 98.5%
2016 - 97.6%
2015 - 98.2%
2014 - 98.4% 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan