Images
  • gce o
    Gambar fail para pelajar menerima keputusan peperiksaan peringkat GCE O. 

Keputusan GCE 'O': Rekod 84.8% lulus sekurang-kurangnya 5 subjek, kadar tertinggi sejak 1995

SINGAPURA: Kohort pelajar GCE peringkat O tahun lalu mencipta rekod baru dengan 84.8 peratus daripada mereka lulus sekurang-kurangnya lima pelajaran, menurut keputusan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) hari ini (14 Jan).

Keputusan itu mengatasi rekod 84.3 peratus sebelum ini pada 2016, iaitu kadar tertinggi pelajar yang lulus lima atau lebih subjek, sejak sekurang-kurangnya 1995.

Seramai 26,750 mengambil peperiksaan GCE O tahun lalu, dengan 22,688 pelajar lulus sekurang-kurangnya lima mata pelajaran berbanding 83.4 peratus - iaitu 24,287 pelajar - daripada 29,112 calon yang menduduki peperiksaan tersebut pada 2017.

Jumlah pelajar yang lulus sekurang-kurangnya satu subjek dan tiga mata pelajaran kekal tidak berubah, masing-masing pada 99.9 peratus (26,723 pelajar) dan 96.4 peratus (25,781 pelajar).

Para pelajar boleh menggunakan keputusan peperiksaan peringkat GCE O mereka untuk memohon masuk ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE), maktab rendah, Institut Millenia dan politeknik menerusi Latihan Kemasukan Bersama (JAE).

JAE dibuka mulai 3.00 petang Isnin (14 Jan) hingga 4.00 petang pada Jumaat (18 Jan).  

- CNA/AI/ai

Top