Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keputusan GCE O: 'Aishah Munirah dari Madrasah Al-Maarif berjaya raih 4 'A' dan 5 'B'

Tekad 'Aishah Munirah Abbas untuk selalu melakukan yang terbaik serta peri lakunya yang ramah dan prihatin menjadikan beliau peran contoh bagi rakan-rakan sekolahnya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tekad 'Aishah Munirah Abbas untuk selalu melakukan yang terbaik serta peri lakunya yang ramah dan prihatin menjadikan beliau peran contoh bagi rakan-rakan sekolahnya.

Meskipun banyak mewakili Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah dalam pertandingan seperti Olimpiad Matematik, Drama Sains Antarabangsa dan Pertandingan Bahas Bahasa Arab di Malaysia, 'Aishah terus menunjukkan prestasi konsisten.

Dia cemerlang dalam sembilan mata pelajaran Peringkat 'O' bagi peperiksaan prelim dan tujuh subjek pengajian Islam bagi Shahadah Thanawiyah sebelum ini.

(Gambar: BERITAmediacorp)

Berkat bijak mengatur masa, 'Aishah Munirah hari ini (13 Jan) berjaya meraih empat gred A, lima B dan satu Kepujian bagi keputusan peperiksaan GCE 'O' untuk meneruskan impiannya menjadi pengkaji alam sekitar.

'Aishah berkongsi rahsia kejayaannya: "Setiap hari saya akan melakarkan apa yang saya akan lakukan pada hari itu.

(Gambar: BERITAmediacorp)

"Kononnya jika ada lima kerja rumah yang sangat-sangat penting, saya akan ambil dua sahaja yang terbesar dan perlu perhatian saya sepenuhnya dan saya akan lakukan dua itu dengan sempurna dan yang lainnya saya akan usahakan sedikit demi sedikit."

KEHILANGAN BAPA JADI PEMANGKIN

Rakan sekolahnya, yang juga seorang Ketua Pengawas, Nur-Riny Ashmooni Mohamed Roslan pula tetap mencapai prestasi baik satu A dan empat B meskipun kehilangan bapanya yang tersayang sekitar setahun lalu.

Bagi Nur-Riny, yang baru menerima Anugerah Ketua Pelajar Cemerlang Generasi Seterusnya Goh Chok Tong minggu lalu, ketiadaan bapanya itu menguatkan lagi tekadnya untuk berjaya sebagai tanda penghargaan kepada bapanya.

(Gambar: BERITAmediacorp)

"Selepas kehilangan bapa saya, saya memang merasa sangat sedih tetapi saya tahu saya harus kuat dan mempunyai kekuatan itu untuk jalankan tanggungjawab saya.

"Kalau sebagai motivasi, kehilangan bapa saya menjadi motivasi saya untuk jalankan tanggungjawab ini, kerana bapa saya selalu cakap, jika ayah dah meninggal, tak mahu sedih, tak mahu nangis, jalankan tugas dan teruskan tanggungjawab itu dengan baik," ujar Nur-Riny, dengan nada hiba.

DAYA PENGLIHATAN MEROSOT TIDAK HAMBAT KECEKALAN UMAR

Semangat juang yang tinggi juga tepat menggambarkan tekad Umar Al Faruq Nurazmi untuk berjaya.

Pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah itu memiliki kesukaran belajar disebabkan kondisi daya penglihatan yang dialaminya sejak lahir. Penglihatannya kian merosot dan dia mungkin menjadi buta dek kondisi tersebut.

Akibatnya, Umar antara lain terpaksa menduduki kertas peperiksaan dalam bilik berasingan bagi jangka masa lebih lama. Bilik tersebut juga lebih malap demi mengelakkan cahaya terang menjejas penglihatannya.

(Gambar: BERITAmediacorp)

Namun menduduki peperiksaan dalam keadaan tersebut jelas tidak menghambat Umar daripada meraih keputusan baik. Dia berjaya meraih lima gred B.

"Saya tidak memikir bahawa kondisi ini menyusahkan saya dalam apa-apa perkara. Kondisi ini satu daripada cubaan yang harus dilalui dalam kehidupan.

"Kondisi saya menolong memberi saya semangat untuk menunjuk yang lain, yang saya boleh membuat sama-sama baik atau yang lebih baik lagi," kongsi Umar dengan positif.

(Gambar: BERITAmediacorp)

Seramai 277 pelajar madrasah menduduki peperiksaan GCE 'O' tahun lalu. Daripada jumlah itu, 94.2 peratus berjaya lulus sekurang-kurangnya satu subjek tahun, iaitu perangkaan sama seperti peratusan bagi kohort 2018.

Diminta memberikan perangkaan kadar bagi pelajar madrasah yang lulus lima subjek, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) tidak dapat memberikannya sehingga artikel ini diterbitkan.

Di peringkat nasional, sekitar 85.2 peratus pelajar lulus sekurang-kurangnya lima subjek dalam peperiksaan GCE 'O' pada 2019, mengatasi rekod pada 2018 iaitu 84.8 peratus. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan