Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keputusan GCE 'A': Nur Hikmah Md Ali, pelajar Madrasah Al-Maarif catat rekod, raih 'A' bagi semua 6 subjek

Para pelajar cemerlang Madrasah bagi peperiksaan GCE 'A' tahun lalu mencatat keputusan yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pelajar cemerlang Madrasah bagi peperiksaan GCE 'A' tahun lalu mencatat keputusan yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Pelajar terbaik Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah, Nur Hikmah Md Ali memecahkan rekod Madrasah itu dengan mencatat 6 gred 'A' bagi kesemua mata pelajaran, sekali gus dipercayai pelajar madrasah terbaik tahun ini.

Dua pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah pula meraih 4 gred 'A'.

Selain cemerlang dalam bidang akademik dan ukhrawi, ketiga-tiga pelajar ini turut aktif dalam kegiatan luar darjah.

PERTAMA KALI PELAJAR AL-MAARIF RAIH GRED 'A' BAGI SEMUA SUBJEK

Tidak pernah berlaku dalam sejarah Madrasah Al-Maarif, seorang pelajarnya mendapat gred 'A,' bagi kesemua mata pelajaran yang diambilnya di peringkat GCE 'A'.

Namun, keputusan yang amat membanggakan inilah dicapai pelajar Madrasah Al-Maarif, Nur Hikmah Md Ali pada tahun ini, dengan mencatat rekod 6 gred 'A', bagi subjek Teologi Islam, Undang-undang Islam, Bahasa Arab, Sastera dan Bahasa Melayu, serta Kertas Am (GP).

Menggambarkan keputusan yang dikecapi itu sebagai "suatu yang tidak dijangkakan", Hikmah berkongsi kejayaannya itu berkat doa dan dorongan kedua ibu bapanya.

GIAT DALAM BIDANG LUAR AKADEMIK

"Orang yang sentiasa mendorong saya ialah ibu bapa saya, kerana saya dapat melihat usaha dan juga lelah payah mereka, untuk membesarkan saya dan juga adik-adik saya, oleh itu apabila saya melihat usaha mereka, saya rasa bersemangat untuk terus berusaha dan melakukan yang terbaik," kata Nur Hikmah.

Selain cemerlang dalam bidang akademik, Hikmah yang juga merupakan ketua Pengawas Madrasah Al-Maarif, giat dalam aktiviti luar darjah.

Antara lain beliau menubuhkan Kelab Kesihatan Mental dan Emosi Madrasah Al-Maarif, giat dalam bidang tarannum Al-Quran, dan pernah menerima Anugerah Kepimpinan Goh Chok Tong.

Dengan minat yang mendalam terhadap isu-isu hak asasi kemanusiaan, Hikmah merancang untuk melanjutkan pengajian di NUS untuk mendalami bidang sosiologi.

PELAJAR WAK TANJONG JUGA RAIH KEPUTUSAN CEMERLANG

Pelajar Madrasah Wak Tanjong juga mencatat rekod yang baik bagi peperiksaan GCE A pada tahun ini.

(Dari kiri: Mumtaz, Ustazah Masturah dan Farisah)

Dua daripadanya, Mumtaz Abdul Halim dan Farisah Syazana Allapitchay, meraih 4 gred 'A', dalam subjek Bahasa Melayu dan Arab, Teologi Islam, serta Undang-undang Islam.

"Sebenarnya saya tidak menjangkakan langsung, yang saya akan mendapat keputusan ini, kerana sememangnya di Madrasah Wak Tanjong terutama sekali, kita mempunyai dua peperiksaan yang besar pada tahun yang sama, jadi saya memang tak menjangkakan yang saya akan mendapat keputusan ini," kata Mumtaz.

"Pertama sekali, saya nak cakap yang saya rasa bersyukur, keputusan ini bukan sahaja daripada usaha saya sendiri tetapi daripada usaha cikgu-cikgu saya, ibu-bapa saya, kawan-kawan saya dan sebagainya," kata Farisah.

Dipercayai seramai 46 pelajar madrasah menerima keputusan GCE 'A' petang tadi (23 Feb).  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan