Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keprihatinan terhadap peluang kerja, kesediaan majikan ambil pekerja lanjut usia jadi isu utama dialog pasca NDR M³

Keprihatinan terhadap peluang pekerjaan dan kesediaan para majikan untuk mengambil semula pekerja lanjut usia adalah antara isu utama yang dibangkitkan dalam sesi dialog pertama pasca Rapat Umum Hari Kebangsaan anjuran gerakan M³ pada Khamis (22 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Keprihatinan terhadap peluang pekerjaan dan kesediaan para majikan untuk mengambil semula pekerja lanjut usia adalah antara isu utama yang dibangkitkan dalam sesi dialog pertama pasca Rapat Umum Hari Kebangsaan anjuran gerakan M³ pada Khamis (22 Ogos).

Isu-isu lain yang turut dibangkitkan adalah berhubung subsidi pendidikan prasekolah dan posmenengah serta langkah-langkah untuk menangani perubahan iklim.

Sesi dialog itu dipimpin oleh Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim dan Anggota Parlimen GRC Jurong, Rahayu Mahzam.

PENGUMUMAN PM LEE TEPAT PADA MASANYA

Menjawab soalan berkaitan dengan usia persaraan dan pengambilan semula pekerja lanjut usia, khususnya peluang-peluang pekerjaan bagi golongan warga senja, Dr Faishal berkata ia adalah satu isu yang turut menjadi keprihatinan golongan warga senja di Singapura.

“Semakin ramai yang menua di Singapura dan semakin ramai akan berasa risau bagaimana mereka boleh menyara kehidupan mereka, bagaimana pendapatan mereka akan terjejas apabila mereka berhenti bekerja ataupun daya pendapatan itu berkurangan.

“Jadi amat tepat pada waktunya, di mana Pemerintah memikirkan bagaimana kita boleh memberi lebih sokongan kepada golongan ini,” kata Dr Faishal.

Namun, beliau menambah bahawa ia bukan satu langkah yang mudah untuk Pemerintah kerana para majikan mungkin perlu menanggung kenaikan kos.

MASYARAKAT, MAJIKAN MESTI UBAH MINDA

Selain menghadapi ketidakpastian dari segi peluang-peluang pekerjaan, kesediaan para majikan untuk menggajikan golongan pekerja lanjut usia juga merupakan antara kebimbangan dan keluhan yang diutarakan oleh sebilangan peserta dialog.

“Persaraan itu tidak jadi masalah bagi warga senja tetapi peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang menjadi tanda tanya. Kerana di dalam syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME), mereka ingin mendapatkan pekerja-pekerja yang bertenaga jika dibandingkan dengan usia senja kita,” kongsi salah seorang peserta dialog, Asna Kirana Atnawi.

Sehubungan itu, Cik Rahayu menggesa masyarakat dan para majikan supaya mengubah minda untuk menerima golongan warga senja sebagai tenaga kerja.

“Pemikiran perlu berubah, kita perlu faham bahawa kita harus menerima mereka yang lebih berusia untuk terus bekerja, mungkin harus ada perubahan skop pekerjaan mereka, untuk bagaimana kita dapat sama-sama juga memastikan pengalaman dan apa yang mereka ada itu tidak kehilangan,” kata Cik Rahayu.

Seramai 120 peserta yang terdiri daripada para relawan M³@Bandar, pemimpin akar umbi dan wakil badan-badan Melayu/Islam menyertai sesi dialog itu.

Sesi seterusnya akan diadakan pada Selasa depan (3 Sep) di Wisma Geylang Serai.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan