Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kepalsuan online disengajakan 'masalah global yang serius'

Kepalsuan online yang disengajakan adalah masalah serius di peringkat global yang harus ditangani banyak negara termasuk Singapura, kata Timbalan Speaker Parlimen Charles Chong hari ini (14 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Kepalsuan online disengajakan 'masalah global yang serius'
Diterbitkan : 14 Mar 2018 01:42PM Dikemas Kini : 14 Mar 2018 01:44PM

SINGAPURA: Kepalsuan online yang disengajakan adalah masalah serius di peringkat global yang harus ditangani banyak negara termasuk Singapura, kata Timbalan Speaker Parlimen Charles Chong hari ini (14 Mac).

Beliau berkata demikian sebagai pengerusi Jawatankuasa Pilihan semasa memulakan sesi pertama perbincangan awam mengenai kepalsuan online yang disengajakan.

"Ia adalah masalah yang rumit, yang menjejas kita dalam pelbagai cara," katanya.

Sepanjang tiga hari ini, jawatankuasa tersebut akan mendengarkan saranan-saranan daripada para peserta yang boleh membantu memahami aspek-aspek berbeza masalah berkenaan, dari media hingga ke teknologi, hubungan kaum dan agama hingga ke keselamatan negara, menurut beliau lagi.

Encik Chong turut menambah bahawa sesetengah peserta adalah para pakar dari luar negara.

"Mereka boleh berkongsi dengan kami apa yang sudahpun berlaku, apa yang sedang dilakukan di negara-negara lain supaya kami dapat menimba pengajaran yang relevan," katanya.

Antara mereka yang akan mengusulkan pandangan mereka pada hari ini adalah penyelidik Institut Pengajian Dasar (IPS) Mathew Matthews, Penolong Profesor Michael Raska daripada Sekolah Kajian Antarabangsa S Rajaratnam serta dekan sekolah undang-undang Universiti Pengurusan Singapura Goh Yihan.

Jawatankuasa itu sudahpun memuktamadkan sesi mengumpul maklum balas selama tujuh minggu, termasuk lanjutan selama minggu. Ia menerima sebanyak 164 saranan, kata Encik Chong sambil menambah bahawa setakat ini, ia sudahpun mengundang 79 individu dan pertubuhan untuk menyuarakan saranan mereka secara lisan.

Keputusan jawatankuasa tersebut mengenai prosesnya sejauh ini dipersetujui dengan "sebulat suara dan bermuafakat," katanya. 

"Ini menunjukkan kesungguhan kami untuk mendampingi lebih ramai anggota masyarakat berdasarkan bidang rujukan kami," tambahnya.

Jawatankuasa tersebut akan meneliti dan melaporkan tentang fenomena menggunakan teknologi digital untuk menyebarkan kepalsuan online dengan sengaja, motivasi dan sebab di sebalik perbuatan sedemikian serta pihak-pihak yang terlibat dalam kegiatan seumpama itu dan kesan-kesan perbuatan sebegitu terhadap Singapura, termasuk institusi-institusinya dan proses demokrasi negara ini.

Ia juga akan meneliti bagaimana Singapura dapat mencegah dan membanteras kepalsuan online.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan