Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kenyataan Tambahan kepada Ucapan Presiden: MND, MEWR komited jadikan S'pura kediaman lebih baik

Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) hari ini (8 Mei) membentangkan beberapa pelan bagi menjadikan Singapura sebagai sebuah kediaman yang mampan dan sesuai didiami.

Anggaran Waktu Membaca:
Kenyataan Tambahan kepada Ucapan Presiden: MND, MEWR komited jadikan S'pura kediaman lebih baik

(Gambar: PUB)

Diterbitkan : 08 May 2018 09:33PM Dikemas Kini : 08 May 2018 10:27PM

SINGAPURA: Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) hari ini (8 Mei) membentangkan beberapa pelan bagi menjadikan Singapura sebagai sebuah kediaman yang mampan dan sesuai didiami.

Dalam kenyataan tambahan kementeriannya kepada ucapan yang disampaikan oleh Presiden Halimah Yacob di Parlimen semalam (7 Mei), Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong sekali lagi mengesahkan rancangan kementeriannya untuk membangunkan Singapura sebagai sebuah bandar lebih inklusif bagi setiap rakyat tanpa mengira usia dan keupayaan.

Ini termasuk memenuhi keperluan perumahan warga emas dan rakyat Singapura yang lemah.

Bagi warga emas, MND akan merintis model baru di mana khidmat jagaan dan perumahan disepadukan. Ini bagi membantu mereka untuk hidup lebih berdikari. MND juga akan mempertingkatkan program Peningkatan Bagi Warga Emas Aktif yang sedia ada bagi menyediakan lebih banyak akses kepada keperluan mereka.

Bagi rakyat kurang berkemampuan yang tinggal di rumah sewa, MND akan mengkaji cara-cara untuk menyokong aspirasi mereka memiliki rumah sendiri.

Menurut Encik Wong, kementeriannya juga merancang untuk membina "sebuah bandar yang lebih bijak, hijau dan selesa". Antara rancangan utamanya adalah untuk menghubungkan Koridor Rel sepanjang 24 kilometer dengan taman-taman, kawasan hutan simpanan dan laluan-laluan seperti Jejak Pantai-ke-Pantai dan Laluan Rentas Pulau menjelang 2021.

Menjelang 2030, tambah beliau, 90 peratus rakyat Singapura akan menetap dalam jarak 10 minit dari sebuah taman. Rangkaian koridor hijau Singapura juga akan diperluaskan dari 310 kilometer kepada 400 kilometer.

MEWR juga sedang memainkan peranannya untuk membangunkan Singapura sebagai sebuah negara yang sesuai didiami dan mampan dengan menyepadukan dan merubah "ruang biru dan hijau kita".

"Melalui Program Air Aktif, Bersih, Cantik (ABC), kami akan terus megubah longkang-longkang konkrit, terusan, dan kolam air menjadi sungai, tasik dan kolam yang cantik dan bertenaga," kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli dalam kenyataan tambahan kementeriannya.

"Dalam beberapa tahun akan datang, projek-projek Air ABC di kawasan-kawasan seperti Tasik Jurong dan Sungei Whampoa akan selesai dijalankan."

Kementerian itu juga akan terus melabur dalam prasarana yang kalis cuaca, seperti meningkatkan sistem pengurusan air hujan dan mempelbagaikan bekalan air dengan lebih banyak loji NEWater dan loji penyulingan.

"Ini sejajar dengan usaha kami untuk menguruskan permintaan air dengan lebih baik," kata Encik Masagos. "Kami juga akan mempertingkat keupayaan penyelidik kami mengenai sains iklim dan cuaca melalui Pusat Kajian Iklim Singapura."

Apabila menyentuh tentang perubahan iklim, menggunakan sumber-sumber dengan cekap amat penting bagi mengurangkan pengeluaran bahan pencemar, membendung pencemaran dan menguatkan kebingkasan ekonomi Singapura, kata beliau.

"Sasaran kami adalah negara yang bebas sisa dan memanfaatkan sisa sehingga ia dapat dijadikan sumber yang berguna bagi mencapai visi kita sebagai ekonomi yang terus mengamalkan budaya kitar semula," tambah beliau, sambil menekankan bahawa pelaksanaan sistem pengurusan e-sisa dan laporan wajib mengenai pembungkusan serta pelan pengurangan bahan sisa yang bakal dikuatkuasakan menjelang 2021.

"Sedang Pemerintah berusaha untuk mengukuhkan lagi rejim kawal selianya untuk melindungi alam sekitar dan kesihatan awam, mewujudkan kediaman yang selesa didiami akhirnya bergantung kepada setiap rakyat memainkan peranan masing-masing dalam menjaga alam sekitar kita," kata Encik Masagos.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan