Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kenyataan NAC 'tidak lengkap'; The Substation jelaskan kedudukan kewangannya

The Substation pada Jumaat (5 Mac) menyatakan bahawa ia cuba mendapatkan kuasa autonomi ke atas ruang di 45 Armenian Street supaya ia dapat "terus mengendalikannya sebagai sebuah pusat seni berbilang disiplin dan inkubator seni".

Anggaran Waktu Membaca:
Kenyataan NAC 'tidak lengkap'; The Substation jelaskan kedudukan kewangannya

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 06 Mar 2021 08:51AM Dikemas Kini : 06 Mar 2021 08:54AM

SINGAPURA: The Substation pada Jumaat (5 Mac) menyatakan bahawa ia cuba mendapatkan kuasa autonomi ke atas ruang di 45 Armenian Street supaya ia dapat "terus mengendalikannya sebagai sebuah pusat seni berbilang disiplin dan inkubator seni".

Demikian responsnya terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC) pada Selasa (2 Mac) yang menyatakan bahawa The Substation memohon kuasa autonomi ke atas seluruh ruang itu supaya ia dapat menjana pendapatan dari sewa tempat, termasuk ruang yang sebelum ini disewakan kepada Timbre.

Kenyataan NAC "tidak lengkap", menurut The Substation, yang mengumumkan bahawa ia akan melabuhkan tirainya buat selama-lamanya setelah meninggalkan tapak tersebut.

Ia juga menyangkal dakwaan NAC bahawa ia "mengundang lembaga NAC untuk mencipta bersama visi pusat seni yang diubah elok" bersama mereka.

NAC "tidak merujuk kepada 'penciptaan bersama' ini dalam suratnya kepada lembaganya yang bertarikh pada 17 Feb tahun ini, menurut kenyataan oleh pusat seni itu.

"Surat itu setakat menyatakan bahawa The Substation, sebagai penyewa bersama, akan 'diminta pandangan untuk memberikan pendapat tentang masa depan bangunan di 45 Armenian Street itu berhubung dengan kawasannya'," menurut The Substation.

"Walaupun NAC ada menyatakan bahawa The Substation boleh kembali ke bangunan 45 Armenian Street sebagai penyewa bersama dengan kumpulan-kumpulan lain, ini tetap bermakna bahawa The Substation tidak lagi boleh beroperasi sebagai sebuah pusat seni, iaitu tunggak utama kami.

"Sekalipun jika kami pulang ke bangunan 45 Armenian Street setelah selesai kerja-kerja ubah elok, kehadiran The Substation di bangunan yang dihuni dan ditentukannya selama 30 tahun tidak lagi seperti dahulu."

Ia menambah bahawa pihak lembaga tidak merasakan bahawa ia adalah "keputusan yang betul disebabkan warisan The Substation yang membanggakan".

PENJELASAN TENTANG DAKWAAN MENGENAI KEWANGAN

The Substation sekali lagi menekankan dalam kenyataannya bahawa ia adalah sebuah pusat seni, bukan kumpulan seni, sambil menarik perhatian bahawa "model kewangan dan operasi kedua-duanya adalah sangat berbeza".

The Substation juga tidak bersetuju dengan perbandingan oleh NAC tentang kebergantungannya terhadap sokongan pemerintah berbanding Syarikat Utama yang lain.

Skim Syarikat Utama NAC menyokong pertubuhan-pertubuhan seni terpilih menggunakan dana awam.

Kenyataan NAC menyatakan bahawa pergantungan The Substation pada dana pemerintah - dengan purata 86 peratus daripada pendapatan tahunan - adalah yang tertinggi dalam kalangan Syarikat Utama. NAC juga menyatakan bahawa ia prihatin kerana The Substation "semakin tidak stabil dari segi kewangan" setelah 31 tahun menerima sokongan dana.

"Model operasi bagi sebuah pusat seni adalah sangat berbeza berbanding sebuah syarikat teater, tarian atau muzik," menurut The Substation.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan