Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kenyataan DPM Teo ‘adil’, kata Lee Bee Wah

Dr Lee Bee Wah menyifatkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean yang berkata bahawa semua AP atau pegawai awam akan disiasat sekiranya mereka menyalahgunakan kuasa adalah sesuatu yang “adil”.

Anggaran Waktu Membaca:
Kenyataan DPM Teo ‘adil’, kata Lee Bee Wah

Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Dr Lee Bee Wah (Gambar: Xabryna Kek)

Diterbitkan : 06 Feb 2018 09:24AM Dikemas Kini : 06 Feb 2018 09:28AM

SINGAPURA: Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Dr Lee Bee Wah menyifatkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean yang berkata bahawa semua AP atau pegawai awam akan disiasat sekiranya mereka menyalahgunakan kuasa adalah sesuatu yang “adil”.

Dalam satu wawancara bersama Mediacorp semalam (5 Feb), Dr Lee menegaskan bahawa kesemua AP atau pegawai awam “berkhidmat untuk negara”.

Dr Lee berkata: “Saya rasa perkara yang dipersetujui, tidak kira sama ada (anda) AP atau pegawai awam adalah jika anda ingin berkhidmat, jangan takut. Namun, lakukan tindakan yang betul. Kita tidak boleh menjangkakan semua orang akan sentiasa bersetuju antara satu sama lain tetapi kita boleh bertukar-tukar pandangan sambil menghormati pendapat orang lain. Pokoknya, matlamat kami mesti untuk para penduduk dan Singapura.”

Sebelum ini, Dr Lee mengatakan dalam satu wawancara bersama Mediacorp yang disiarkan Ahad lalu (4 Feb) bahawa rakan-rakannya memberi amaran kepadanya bahawa sesetengah pegawai awam mungkin “bertindak balas” terhadapnya.

Beliau berkata: “Saya ada rakan-rakan yang memberitahu saya, ‘Bee Wah, apabila anda melepaskan jawatan nanti, anda akan mendapati para pegawai awam ini akan bertindak balas terhadap anda’. Biarkan sahaja. Sekiranya saya takut, tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan kan? Jadi, jika anda benar-benar ingin berkhidmat, anda tidak perlu bimbang.”

Menurut beliau lagi, ketika penggal pertamanya sebagai AP, sesetengah menteri mengadu kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong tentang pendekatan beliau yang berterus terang.

Pada malam Ahad lalu, DPM Teo menyatakan dalam satu kenyataan bahawa ia “tidak sesuai” bagi AP atau pegawai awam untuk “bertindak balas” antara satu sama lain kerana perselisihan faham berhubung kerja.

DPM Teo yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, akur bahawa para AP dan pegawai awam “tidak selalunya memandang isu-isu dari perspektif yang sama”.

Namun, apabila berlaku demikian, DPM Teo berharap mereka akan menghuraikan sebarang isu yang timbul secara profesional dengan berunding dan menganalisis secara objektif. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan