Images
  • supermarket retail file shot
    (Gambar fail: TODAY)

Kenaikan GST tidak boleh ditunda bagi tempoh tidak pasti; Pemerintah akan kaji dengan teliti, tegas DPM Heng

SINGAPURA: Kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak boleh ditangguhkan bagi tempoh masa yang tidak pasti kerana ia perlu bagi menyokong keperluan masa hadapan seperti pendidikan prasekolah dan jagaan kesihatan dan Pemerintah akan terus mengkaji masa yang sesuai untuk menaikkan kadar GST secara berhati-hati.

Dengan berbuat demikian, Pemerintah akan mengambil kira rentak pemulihan ekonomi Singapura, ramalan pendapatannya dan berapa banyak perbelanjaan yang boleh ditangguhkan tanpa menjejas keperluan jangka panjang negara, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Khamis (15 Okt) semasa menggulung perbahasan Parlimen mengenai belanjawan tambahan terkini yang dibentangkan tahun ini.

Encik Heng turut menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh beberapa Anggota Parlimen (AP) semasa membahaskan bila kadar GST akan dinaikkan, sambil mengambil kira kesan berlarutan COVID-19 terhadap kehidupan rakyat Singapura.

KUTIPAN GST TAHUN INI DIJANGKA 14% LEBIH RENDAH

Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan pada Februari tahun ini bahawa kadar GST akan kekal pada paras 7 peratus pada 2021.

Kutipan GST tahun ini, katanya, dijangka merosot 14 peratus berbanding unjuran asal sebelum bermula tahun ini.

Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh gangguan perjalanan dan kesan langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Pemerintah kekal komited untuk membantu rakyat Singapura mengimbangi kesan kenaikan GST.

Sebagai contoh, S$6 bilion diperuntukkan dalam Pakej Jaminan GST yang diumumkan pada Februari untuk mengimbangi kesan kenaikan GST terhadap rakyat Singapura apabila kadarnya dinaikkan kelak.

Menjawab saranan AP Tanpa Kawasan Undi Leong Mun Wai untuk menunda kenaikan GST bagi tempoh masa yang tidak pasti, Encik Heng menarik perhatian bahawa lebih 60 peratus daripada hasil bersih GST adalah daripada semua individu dan keluarga yang diperolehi dari warga asing yang tinggal di Singapura, pelancong dan 20 peratus keluarga teratas di Singapura.

"Cadangan Encik Leong untuk menangguhkan kenaikan kadar GST bagi tempoh masa yang tidak pasti bermakna kita akan kehilangan pendapatan tambahan daripada kumpulan-kumpulan ini yang boleh kita manfaatkan untuk memperbaiki kehidupan warga Singapura," kata Encik Heng.

PENDEKATAN BELANJAWAN SECARA "BERPRINSIP DAN BERHEMAT"

Berbalik kepada isu mengukuhkan kedudukan kewangan Singapura, Encik Heng menekankan Pemerintah akan mengambil pendekatan yang "berprinsip dan berhemat" untuk mengambil pinjaman bagi menampung infrastruktur utama dalam jangka panjang.

"Kami akan meminjam hanya untuk prasarana yang akan memanfaatkan berbilang generasi, dan memastikan tahap hutang dan pembayaran semula dapat terus ditampung," kata Encik Heng, yang menambah bahawa berbuat demikian akan membantu membahagikan kos pendahuluan yang besar kepada generasi sekarang dan seterusnya dengan cara yang lebih adil.

"Kami tidak akan meminjam setakat untuk menebus kekurangan pendapatan atau mengambil kesempatan daripada keadaan semasa pasaran."

Bagi perbelanjaan berulang yang memberi manfaat kepada generasi sekarang, seperti jagaan kesihatan dan pendidikan, Encik Heng berkata "cara yang bertanggungjawab" adalah melunaskannya melalui pendapatan berulang seperti cukai.

"Disiplin ini akan memastikan setiap generasi berupaya meraih manfaat dan menyumbang bahagian masing-masing."

- TODAY/TQ/tq

Top