Images
  • mosquito sorter
    (Gambar: Rauf Khan)

Kemudahan baru biak hingga 5 juta nyamuk Wolbachia seminggu untuk basmi denggi

SINGAPURA: Sebuah kemudahan baru bagi pembiakan nyamuk bernilai S$5 juta dibuka pada Isnin (2 Dis) sebagai sebahagian daripada usaha terbaru Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk membanteras demam denggi.

Usaha ini, memanfaatkan sejenis bakteria bernama Wolbachia, menyusuli jumlah tertinggi kes demam denggi dicatat sejak 2014. Setakat November tahun ini, hampir 15,000 kes dicatat dengan 20 kematian dilaporkan.

5 JUTA NYAMUK DIBIAK

Kemudahan pembiakan nyamuk tersebut menggunakan teknologi seperti alat yang mengasingkan secara automatik jentik-jentik betina.

Ia berupaya menjana lima juta nyamuk Aedes jantan yang membawa Wolbachia setiap minggu - iaitu 10 kali ganda berbanding kemudahan sedia ada.

Apabila nyamuk jantan yang dijangkiti bakteria itu mengawan dengan nyamuk betina, telur yang dihasilkan tidak akan menetas.

Kemudahan terbaru yang terletak di Ang Mo Kio itu akan membolehkan Singapura memperkembangkan projek menguji keberhasilannya dalam mengawal jumlah nyamuk dalam usaha melawan penyakit seperti demam denggi.

"Bagi projek Wolbachia, terdapat dua fasa utama - satu adalah pembiakan dan kemudian pelepasan. Bagi kedua-dua fasa, ia melibatkan kerja yang banyak, terutama jika ingin diperkembangkan kepada ratusan ribu (nyamuk) seminggu," kata pengarah Institut Kesihatan Sekitaran Dr Ng Li Ching.

"Apa yang kami lakukan adalah menjadikan proses itu automatik."

KESAN PEMANASAN BUMI BOLEH HAMBAT KEMAJUAN

Nyamuk-nyamuk pembawa Wolbachia itu kini dilepaskan di tapak-tapak ujian lebih meluas di Tampines West dan Nee Soon East untuk mengkaji sama ada penggunaan teknologi Wolbachia boleh dikekalkan di kawasan luas.

Projek Wolbachia, yang dimulakan pada 2012, kini memasuki fasa keempat.

Bagaimanapun Menteri Negara Kanan Sekitaran dan Sumber Air Amy Khor memberi amaran sebarang kemajuan dalam projek itu mungkin terhambat akibat kesan pemanasan bumi dan perubahan iklim.

"Meskipun Projek Wolbachia di Singapura terus menampakkan hasil baik dalam mengekalkan bilangan rendah nyamuk Aedes aegypti di bandar-bandar, ia bukan penyelesaian menyeluruh," kata Dr Khor. "Cuaca lebih hangat mempercepatkan pembiakan nyamuk Aedes aegypti serta virus denggi."

Lebih 14,000 kes denggi dilaporkan tahun ini, lebih lima kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

Para pakar yang dihubungi Mediacorp tidak menjangkakan projek perintis tersebut dapat menyelesaikan masalah dalam jangka masa terdekat.

Dr Ooi Eng Eong, seorang profesor di Sekolah Perubatan Duke-NUS, berkata: "Projek Wolbachia masih dalam fasa rintis. Lantas, NEA melepaskan nyamuk jantan pembawa Wolbachia untuk membiak dengan nyamuk betina, di tapak-tapak dan bilangan yang terhad.

"Lantas, akan mengambil masa sebelum anda dapat lihat kesannya."

Fasa sedia ada Projek Wolbachia itu akan diperluaskan awal tahun depan.

- CNA/TQ/tq

Top