Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kempen kerjaya JUMP MENDAKI SENSE platform pertingkat mobiliti kerjaya

Lebih 35 peratus pencari kerja yang dibantu MENDAKI SENSE merupakan golongan karyawan. Demikian menurut Menteri Tenaga Manusia Zaqy Mohamad semasa ditemui di pesta kerjaya JUMP, di Kelab Masyarakat Keat Hong hari ini (20 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih 35 peratus pencari kerja yang dibantu MENDAKI SENSE merupakan golongan karyawan. Demikian menurut Menteri Tenaga Manusia Zaqy Mohamad semasa ditemui di pesta kerjaya JUMP, di Kelab Masyarakat Keat Hong hari ini (20 Apr).

Ini, kata Encik Zaqy menunjukkan para pekerja di sini terus merebut peluang untuk mendaki tangga kerjaya. Mentelah lagi, mereka yang mencari pekerjaan tidak semuanya menganggur.

Dalam pesta kerjaya tersebut, 13 syarikat dari pelbagai sektor dan penyedia latihan kemahiran 'berkumpul' bagi menawarkan peluang-peluang pekerjaan yang ada.

KEMPEN JUMP AKAN DIPERHEBAT LAGI

Memasuki tahun kedua kempen JUMP tahun ini, MENDAKI SENSE menyatakan ia berjaya mendekati dan membantu lebih 2,700 orang. Lantaran itu, ia akan memperhebat lagi usaha memudahkan akses para pencari kerja kepada peluang-peluang pekerjaan dan wadah meningkatkan kemahiran. Selain itu, ia akan menumpukan perhatian kepada mobiliti kerjaya dan pembangunan profesional.

Bukan itu sahaja, MENDAKI SENSE akan menganjurkan pesta kerjaya di kawasan-kawasan kejiranan.

"Tahun lepas lebih 35 peratus pekerja yang meminta pekerjaan melalui MENDAKI SENSE adalah pihak karyawan. Jika kita lihat dari segi mobiliti kerjaya, ia sesuatu yang memberangsangkan. Orang ramai perlu mempunyai keyakinan untuk mencuba walaupun tidak mempunyai pengalaman," kata Encik Zaqy.

MENDAKI SENSE turut mendedahkan, beberapa program sedia adanya bakal dikemas kini.

"Untuk wanita yang ingin kembali bekerja, kita sudah mengemas kini program kami supaya lebih relevan untuk mereka yang mencari kerja," kata Pengarah Eksekutif MENDAKI SENSE, Faiz Selamat.

PESTA KERJAYA DIJADIKAN WADAH LUASKAN JARINGAN SOSIAL

Di pesta tersebut juga, satu sesi ala 'speed dating' turut diadakan di mana orang ramai berpeluang untuk meluaskan jaringan sosial mereka. 

"Ia memberikan saya pengalaman untuk berkenalan dengan orang lain. Masalah-masalah boleh kita kongsi secara bersama," kata Encik Rahmat Mohamed Nasir, seorang penyelia dalam industri biotronik.

Bagi Cik Fahimah Abdullah yang sudah bekerja dalam industri pendidikan awal kanak-kanak selama sembilan tahun, beliau melihat pesta kerjaya sebagai satu wadah untuk meneroka industrinya dengan lebih mendalam, mahupun mempelajari tentang sektor-sektor lain.

"Saya juga dapat tahu tentang kursus-kursus yang ditawarkan. Sebelum ini saya memang ingin mengambil kursus tetapi tidak tahu pertubuhan atau penyedia mana yang menganjurkan kelas-kelas yang sesuai," kata Cik Fahimah.

Sekitar 250 orang menghadiri pesta kerjaya hari ini. Kempen JUMP merangkumi empat tema bagi kumpulan sasaran berlainan - iaitu JUMP Start, JUMP Across, JUMP Ahead dan JUMP Together. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan