Images
  • ppl (1)
    (Gambar fail: Simin Wang/AFP)

Kemerosotan ekonomi: Perlu ikat perut atau tidak?

SINGAPURA: Para siswazah yang sedang mencari pekerjaan atau baru melangkah ke alam pekerjaan mungkin memikirkan bahawa mereka perlu ikat perut atau menangguhkan pembelian barang-barang yang menelan belanja besar sedang keadaan ekonomi diramalkan suram hingga hujung tahun ini.

Bagi sebahagian golongan millennial, inilah kali pertama mereka mengalami kemerosotan ekonomi sebagai orang dewasa. Maka itu, jangkaan ekonomi yang suram mungkin membangkitkan beberapa persoalan: Adakah mereka akan hilang pekerjaan, atau adakah gaji mereka akan dipotong?

Mengamalkan sikap cermat dalam berbelanja adalah langkah bijak namun para pakar ekonomi dan penasihat kewangan menasihati supaya perbelanjaan tidak dikurangkan secara keterlaluan kerana ini akan membawa kesan negatif kepada ekonomi sehingga menyebabkan jangkaan kemelesetan benar-benar berlaku.

Perangkaan lemah eksport suku kedua yang didedahkan pada Selasa dan penurunan unjuran rasmi untuk tahun ini, mengesahkan ramalan perdagangan dan pertumbuhan ekonomi yang lembap di tengah-tengah perang perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China - dua ekonomi terbesar di dunia.

PEKERJAAN DAN GAJI

Jelas, pasaran pekerjaan akan terjejas kerana syarikat-syarikat akan lebih berwaspada mengambil para pekerja. Berdasarkan laporan tenaga buruh Kementerian Tenaga Manusia, kadar pengangguran naik pada suku kedua berakhir 30 Jun.

Sebahagian siswazah, seperti mereka yang mengambil jurusan perniagaan, mungkin mendapati lebih sukar untuk mendapatkan pekerjaan, menurut para pakar ekonomi.

Sekitaran perdagangan yang suram bermakna syarikat-syarikat akan mengurangkan atau lebih teliti memilih tempat untuk melabur, kata pakar ekonomi CIMB Bank, Encik Song Seng Wun.

"Syarikat-syarikat akan lebih berhati-hati menambah jumlah pekerja," tambahnya.

Bagaimanapun, para pakar ekonomi menekankan bahawa masih terdapat permintaan yang kukuh bagi pekerjaan dalam industri-industri seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pendidikan, jagaan kesihatan dan keselamatan.

Namun sukar untuk menentukan bila pekerjaan dan gaji akan terjejas teruk, menurut para pakar ekonomi.

WANG SIMPANAN SATU KEUTAMAAN

Apabila ekonomi menjadi lembap, kos pinjaman akan merosot. Institusi-institusi kewangan mungkin memotong kadar faedah, sekali gus mendorong seseorang untuk meminjam wang misalnya untuk membeli kereta mewah atau rumah baru.

Meskipun ia amat menarik, para pakar ekonomi dan penasihat kewangan berkata sikap cermat adalah pilihan lebih baik di tengah-tengah perang dagangan yang berterusan dan dikhuatiri akan memuncak.

Pengarah pengurusan harta Financial Alliance, Encik Sani Hamid menekankan bahawa golongan millennial belum lagi mengalami kemelesetan ekonomi seperti pada tahun 2008 akibat krisis kewangan sejagat dan pada 2001 yang sebahagian besarnya disebabkan kejatuhan syarikat berkaitan dot.com. Oleh itu, mungkin ada yang bersikap tidak peka dalam memastikan mereka mempunyai wang simpanan yang mencukupi untuk mengharungi waktu sukar.

Beliau menekankan adalah penting daripada sudut rancangan kewangan untuk mempunyai dana kecemasan bernilai sekurang-kurangnya gaji selama enam bulan. Sekiranya seseorang itu diberhentikan kerja, beliau boleh menggunakan wang itu untuk perbelanjaan harian.

Bagi mereka yang tidak memiliki wang sedemikian, mengumpulnya "patut menjadi keutamaan", tambah Encik Sani. 

- TODAY/NA/na

Top