Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kematian pelajar RVHS: MOE, sekolah akan terus waspada terhadap keselamatan kampus

Kementerian Pendidikan (MOE) dan sekolah-sekolah akan terus berwaspada berhubung keselamatan kampus menyusuli insiden kematian yang berlaku di Sekolah Tinggi River Valley pada Isnin (19 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Jul 2021 08:06PM Dikemas Kini : 21 Jul 2021 10:02PM

SINGAPURA: Kementerian Pendidikan (MOE) dan sekolah-sekolah akan terus berwaspada berhubung keselamatan kampus menyusuli insiden kematian yang berlaku di Sekolah Tinggi River Valley pada Isnin (19 Jul).

Demikian menurut Ketua Pengarah Pendidikan Kementerian Kementerian, Wong Siew Hoong.

"Secara semula jadi, setelah kejadian ini, ada ibu bapa yang sangat risau tentang keselamatan anak-anak mereka di sekolah-sekolah kita," kata Encik Wong hari ini (21 Jul).

"Keselamatan pelajar sentiasa dan akan terus menjadi keutamaan tertinggi bagi kami semua. MOE dan sekolah-sekolah kita akan terus waspada berhubung keselamatan kampus."

Seorang pelajar berusia 16 tahun dari Sekolah Tinggi River Valley didakwa semalam (20 Jul)atas kesalahan membunuh seorang pelajar lain.

Mangsa, seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun, dijumpai terbujur kaku di tandas sekolah dengan beberapa kesan luka dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Polis merampas sebilah kapak sebagai bukti kes. Siasatan awal menunjukkan ia dibeli secara online, menurut Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.

Encik Wong berkata "rakan-rakan karib dan guru-guru" yang terjejas oleh kejadian itu dipelawa ke sekolah semalam bagi mendapatkan bantuan psikologi dan pengurusan trauma.

"Ada yang sudah mendapatkan bantuan semalam," katanya, sambil menambah bahawa pakar MOE yang terlatih dan kaunselor sekolah membantu mereka.

Encik Wong mendedahkan 97 peratus pelajar Sekolah Tinggi River Valley kembali ke sekolah hari ini selepas cuti umum semalam. Ini sama seperti kadar kehadiran biasa pada hari-hari lain, katanya.

"Inilah daya tahan para pelajar kita dan kita sangat berbangga dengan mereka," tambah beliau.

"Para guru RV meluangkan sedikit masa pagi ini untuk memeriksa keadaan para pelajar dan membantu mereka memproses apa yang terjadi. Adalah penting untuk mewujudkan ruang selamat untuk para pelajar berkongsi dan memproses perasaan mereka."

Orang ramai yang ingin menyampaikan kata-kata perangsang boleh melakukan demikian di pautan yang disenaraikan di laman Facebook sekolah itu.

Menteri Pendidikan, Chan Chun Sing menerusi catatan di Facebook semalam berkata keutamaan segera MOE adalah untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar, guru dan keluarga Sekolah Tinggi River Valley.

Kementerian tersebut menubuhkan cawangan CARE (Caring Action in Response to Emergencies) di sekolah untuk beberapa hari akan datang. Ia akan dikendalikan oleh kakitangan kementerian dan kaunselor sekolah yang dilatih dalam pengurusan trauma untuk memberi sokongan psikologi kepada anggota kakitangan dan pelajar.

"Untuk jangka panjang, kami akan terus mengawasi para pelajar dan kakitangan yang masih trauma atau menunjukkan tanda-tanda berduka yang berpanjangan, dan akan merujuk mereka kepada bantuan profesional jika perlu," tulisnya.

"Kami akan bekerjasama dengan agensi kesihatan dan hospital yang relevan untuk menghulurkan sokongan lebih lanjut."

Hari ini Encik Wong berkata "kesan akibat kejadian tragis itu tentunya panjang" sedang para pelajar kembali ke sekolah.

"Sebagai seorang rakan pendidik saya berdiri teguh menyokong pasukan Sekolah Tinggi River Valley ketika mereka menumpukan perhatian untuk membawa pelajar kembali ke sekolah dan Membantu masyarakat sekolah menempuhi insiden ini dengan tekad, ketabahan dan penuh kepekaan," katanya.

"Bagi pihak MOE dan Sekolah Tinggi River Valley, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudah menunjukkan keprihatinan, dan mengirim pesanan sokongan dan dorongan. Kami sangat berbesar hati dan berterima kasih atas semua ini." 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan