Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kematian NSF Liu Kai: Bionix undur bagi elak 'serangan tembakan musuh' dalam simulasi

Kenderaan Bionix yang mengundur dan melanggar Land Rover yang dipandu anggota perkhidmatan negara sepenuh masa Liu Kai, ketika itu sedang mengelak dari 'serangan tembakan musuh' dalam satu simulasi.

Anggaran Waktu Membaca:
Kematian NSF Liu Kai: Bionix undur bagi elak 'serangan tembakan musuh' dalam simulasi

Gambar: Howard Law

Diterbitkan : 19 Nov 2018 09:49PM Dikemas Kini : 19 Nov 2018 09:51PM

SINGAPURA: Kenderaan Bionix yang mengundur dan melanggar Land Rover yang dipandu anggota perkhidmatan negara sepenuh masa Liu Kai, ketika itu sedang mengelak dari 'serangan tembakan musuh' dalam satu simulasi.

Ini didedahkan Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen dalam jawapan bertulisnya terhadap soalan-soalan yang diajukan para Anggota Parlimen berkaitan kemalangan yang meragut nyawa Korporal Kelas Pertama (CFC) Liu, 22 tahun. CFC Liu meninggal dunia pada 3 November.

"Land Rover (yang dipandu) ketika itu tidak bergerak dan berada di belakang kenderaan Bionix yang sedang digunakan dalam satu latihan. Bionix itu bergerak bagi mengelak serangan tembakan musuh dalam satu simulasi.

"Ia berundur dan kemudian menghempap sebahagian Land Rover berkenaan. Jurulatihnya tidak cedera namun CFC Liu mengalami kecederaan. Latihan itu segera dihentikan dan pasukan perubatan di tempat kejadian segera merawat CFC Liu.

Khidmat Ambulans Kecemasan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), seorang pegawai perubatan unit dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura dikerahkan dan "tiba tidak lama selepas itu" untuk merawat mendiang, tambah Dr Ng.

Dr Ng selanjutnya berkata bahawa beliau mendedahkan dapatan awal ini tanpa sebarang prasangka terhadap siasatan rasmi, yang merangkumi siasatan polis dan mungkin Siasatan Koroner.

"Jelas ada banyak pertanyaan yang perlu dijawab bagi menentukan punca insiden itu," tambah beliau.

"Jawatankuasa Siasatan (COI) dan polis akan menyiasat semua perkara dan pertanyaan-pertanyaan lain berkaitan kematian CFC Liu dengan teliti."

Satu COI bebas, yang dipengerusikan seorang pegawai awam, sudah mula menjalankan tugas dalam "menentukan fakta-fakta dan akan memberi saranan-saranan tertentu untuk memperbetul sebarang kelemahan sistemik atau manusia".

Menyusuli insiden itu juga, SAF akan mengadakan satu perbincangan panel tentang Keselamatan Kenderaan Tempur yang terdiri daripada pakar-pakar luar untuk menilai dasar-dasar dan langkah-langkah sedia ada yang diambil berkaitan keselamatan latihan kenderaan tempur, kata Dr Ng.

Beliau menambah, SAF akan terus memupuk budaya keselamatan demi mencapai sifar kematian, sambil menekankan perlunya para anggota perkhidmatan negara " bersikap prihatin atas kebajikan dirinya dan askar-askar lain".

Ini merupakan kemalangan maut kedua yang melibatkan kenderaan latihan, kata Dr Ng.

Satu kemalangan maut melibatkan Bionix berlaku pada September tahun lalu semasa satu latihan di Australia. Sarjan Ketiga (3SG) Gavin Chan meninggal dunia selepas Bionix yang dipandu tergolek ke bahagian tepi.

"Selain daripada dua kes ini, tiada kemalangan melibatkan kenderaan tempur yang mengakibatkan kecederaan serius," jelas Dr Ng.  

Sumber : CNA/AQ/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan