Images
  • dave lee platoon mates
    Rakan-rakan Dave Lee menaiki bas pulang ke kem. (Gambar: Howard Lau)

Kematian NSF Dave Lee: Jawatankuasa Siasatan ditubuhkan

SINGAPURA: Sebuah Jawatankuasa Siasatan (COI) yang dipengerusikan oleh sebuah kumpulan superinten dari Kementerian Pendidikan (MOE) ditubuhkan untuk menyiasat kematian Anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) Dave Lee, menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini (2 Mei).

Salah seorang anggota jawatankuasa itu adalah seorang pakar perubatan dari sektor jagaan kesihatan awam, menurut MINDEF. Ia menambah bahawa kematian itu juga akan disiasat polis secara berasingan.

"Berdasarkan hasil siasatan polis, siasatan koroner mungkin dijalankan," demikian didedahkan kementerian tersebut.

"COI mempunyai kuasa sepenuhnya untuk mengakses maklumat dan kakitangan untuk menyiasat hal-hal yang menyebabkan kematian itu, menentukan faktor-faktor yang menyumbang kepadanya dan membuat saranan bagi membetulkan kelemahan yang ditemui," menurut MINDEF lagi.

MINDEF selanjutnya menyatakan bahawa saranan dari COI-COI yang ditubuhakan sebelum ini sudah dilaksanakan untuk 'memperbaiki sistem dan proses keselamatan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF)', termasuk menubuhkan Panel Semakan Luar bagi Keselamatan SAF yang terdiri daripada pakar keselamatan dan karyawan di luar SAF.

"SAF memandang serius terhadap keselamatan anggota perkhidmatan kami dan akan memperbetulkan keadaan sekiranya terdapat kelemahan yang didedahkan.

"Tentera Singapura mengisytiharkan waktu rehat keselamatan bagi semua latihan pada 30 April 2018. Latihan disambung semula hari ini, selepas semakan terhadap latihan dan pengurusan keselamatan bagi memastikan bahawa semua langkah keselamatan yang wajar dilaksanakan. Tentera Singapura komited dalam memastikan bahawa askar-askar kami berlatih dalam keadaan realistik dan selamat," menurut MINDEF.

MINDEF juga menyatakan bahawa ia menyediakan sokongan dan bantuan kepada keluarga mendiang Pte Lee. Seorang pegawai perhubungan SAF dilantik untuk memberi bantuan kepada keluarganya, bersama para pegawai sokongan keluarga dan kaunselor dari Pusat Kaunseling SAF.

Lee Han Xuan Dave, 19 tahun, seorang pengawal dari Batalion Pertama, Pengawal Singapura, meninggal dunia pada Isnin selepas menunjukkan tanda-tanda kecederaan haba selama dua minggu. 

- CNA/SM/sm

Top