Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kematian Ngee Ann City: Hadangan 1 meter sejajar dengan negara lain

Had ketinggian minimum 1 meter bagi hadangan keselamatan di bangunan-bangunan komersil di Singapura adalah "konsisten" dengan negara-negara lain, menurut pihak berkuasa, menyusuli laporan-laporan mengenai dua orang yang meninggal dunia akibat terjatuh di pusat beli-belah di sini.

Anggaran Waktu Membaca:
Kematian Ngee Ann City: Hadangan 1 meter sejajar dengan negara lain

(Gambar: Aqil Haziq Mahmud)

Diterbitkan : 18 Jul 2019 08:29PM Dikemas Kini : 18 Jul 2019 08:36PM

SINGAPURA: Had ketinggian minimum 1 meter bagi hadangan keselamatan di bangunan-bangunan komersil di Singapura adalah "konsisten" dengan negara-negara lain, menurut pihak berkuasa, menyusuli laporan-laporan mengenai dua orang yang meninggal dunia akibat terjatuh di pusat beli-belah di sini dalam tempoh kurang tiga tahun.

Ahad lalu (14 Jul), seorang lelaki 35 tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari tempat tinggi di Ngee Ann City. Pihak polis menyifatkan kes tersebut sebagai kematian luar biasa dan sedang menyiasat.

Pada 2017, remaja 17 tahun Jonathan Chow meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat empat di satu lagi pusat beli-belah di Orchard Road. Mendiang melompat dari jambatan yang menghubungkan Orchard Central dan Orchard Gateway dan terjatuh di atas belebas yang kemudian roboh akibat berat badannya.

Menurut Peraturan Kawalan Bangunan (Building Control Regulations) di bawah seksyen mengenai keselamatan daripada terjatuh, "langkah sewajarnya perlu diambil untuk mencegah orang ramai daripada terjatuh dari tempat tinggi" di mana ketinggiannya 1 meter atau lebih.

Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) menyenaraikan hadangan keselamatan sebagai sebahagian daripada "langkah-langkah wajar" dan ia turut menetapkan ketinggian hadangan tidak seharusnya lebih rendah daripada 1 meter.

HAD MINIMUM 'MEMADAI', SEJAJAR PIAWAI ANTARABANGSA

Menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap BCA menerangkan bahawa sebelum 2007, had ketinggian minimum yang diwajibkan bagi hadangan keselamatan adalah 0.9 meter.

"Peraturan yang ditetapkan bagi hadangan keselamatan sejak 2007 sudah dinaikkan kepada 1,000 mm (1 meter) menyusuli semakan ke atas peraturan dan piawai bangunan," menurut jurucakap itu.

"Had minimum sedia ada bagi hadangan keselamatan adalah sejajar dengan piawai negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan Australia."

Arkitek Goh Chong Chia, yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam industri tersebut, menyifatkan peraturan sedia ada "lebih daripada memadai".

Encik David Ng, anggota jawatankuasa struktur awam dan teknikal di Institusi Jurutera, turut bersetuju. "Langkah ini dilaksanakan dengan baik dan berkesan," kata beliau.

PIAWAI PERLU DISEMAK?

Bagaimanapun seorang pengarah di Majlis Keselamatan Kebangsaan Singapura berpendapat sudah tiba masanya untuk menyemak semula had minimum yang ditetapkan. Ini memandangkan peraturan Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja kini memperuntukkan 1.1 meter bagi ketinggian minimum untuk hadangan keselamatan di tapak binaan.

Encik Salahuddin Abdul Samad memberitahu Mediacorp, hadangan itu sepatutnya lebih tinggi daripada paras pusat orang dewasa dari Asia dan ini berkemungkinan lebih tinggi daripada 1 meter.

Jurucakap BCA bagaimanapun berkata pihak berkuasa akan "melaksanakan langkah keselamatan baru jika perlu".

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan