Images
  • traffic in singapore
    Gambar fail.

Kematian kemalangan jalan raya S'pura bagi 2017, paling rendah dalam 37 tahun

SINGAPURA: Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya merosot tahun lalu berbanding 2016. Demikian menurut perangkaan Polis Trafik dalam laporannya yang dikeluarkan hari ini (7 Feb).

Menurut polis, 122 orang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya tahun lalu. Merosot berbanding 141 kematian pada 2016.

Ini sekaligus mencerminkan kadar kematian sebanyak 2.17 bagi setiap 100,000 orang, iaitu yang terendah sejak 1981, apabila pihak polis mula merekodkan kadar kematian.

KES LANGGAR LAMPU MERAH NAIK 30%

Kejadian kemalangan yang membawa maut juga lebih rendah - daripada 140 kemalangan pada 2016, kepada 118 kes pada tahun 2017.

Namun, kemalangan-kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kecederaan, juga berkurangan selepas meningkat selama tiga tahun berturut-turut.

Tahun lalu ia merosot kepada 7,724 kes, berbanding 8,304 kes pada tahun 2016.

Laporan tersebut juga mendedahkan bahawa jumlah pemandu yang melanggar lampu isyarat merah meningkat lebih 30 peratus kepada 45,617 kes tahun lalu.

Dalam pada itu, walaupun jumlah kemalangan melibatkan pejalan kaki warga tua turun sedikit, terdapat kenaikan 23.2 peratus kemalangan melibatkan pejalan kaki warga tua yang menyeberang sembarangan.

LATIHAN SIMULASI WAJIB BAGI PELATIH PENUNGGANG MOTOSIKAL

Perangkaan Polis Trafik itu juga menunjukkan bahawa jumlah kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal merosot tahun lalu.

Namun, penunggang motosikal masih membentuk lebih daripada separuh kemalangan trafik secara keseluruhannya, dan hampir 36 peratus bagi korban jiwa di jalan raya.

Justeru, bagi mengurangkan lagi kadar kemalangan dan kematian, pihak polis mengumumkan bahawa para pelatih penunggang motosikal perlu menjalani latihan simulasi bermula dari 2019.

Latihan tersebut akan membolehkan para peserta berlatih cara memandu atau menunggang secara defensif menerusi pelbagai senario berbeza.

Satu percubaan bagi simulasi tersebut bermula bulan ini di Pusat Memandu ComfortDelGro di Ubi.

Latihan simulasi itu kemudian akan diadakan di Pusat Memandu dengan Selamat Singapura dan Pusat Memandu Bukit Batok. 

- CNA/NF/sm

Top