Images
  • ssph interior
    Bahagian dalam SSPH (Gambar: MINDEF)

Kematian anggota NS Aloysius Pang: SAF pertimbang dakwaan tentera, jenayah

SINGAPURA: Selain Jawatankuasa Siasatan (COI), Cawangan Siasatan Khas (SIB) Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) juga akan menyiasat punca kematian anggota Perkhidmatan Negara (NSman) Aloysius Pang, menurut Menteri Pertahanan Ng Eng Hen di Parlimen pada Isnin (11 Feb).

Menyampaikan kenyataan menteri mengenai kematian itu, Dr Ng berkata meskipun polis dan Koroner Negara tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat kematian itu di luar negara, dalam kes ini New Zealand, ia boleh disiasat SIB yang memiliki kuasa di bawah undang-undang tentera.

"Berdasarkan siasatan SIB, Ketua Pendakwa Tentera akan memutuskan jika sebarang anggota perlu didakwa atas kesalahan jenayah atau ketenteraan di mahkamah tentera," kata Dr Ng.

Korporal Kelas Pertama (NS) Pang meninggal dunia pada 23 Januari di Hospital Waikato di Hamiltion, New Zealand selepas mengalami kecederaan semasa menjalankan kerja-kerja pembaikan pada meriam gerak sendiri jenis Howitzer buatan Singapura (SSPH).

Pang mengalami kecederaan apabila dihimpit laras meriam sewaktu ia diturunkan. Beliau menjalani beberapa pembedahan namun meninggal dunia empat hari selepas kemalangan itu.

URUTAN KEJADIAN

Mendedahkan butiran sebelum kemalangan pada 19 Januari itu, Dr Ng berkata Pang dan dua kakitangan lain berada di dalam kabin SSPH untuk melakukan kerja-kerja pembaikan.

Dua anggota lain ialah Teknisyen Persenjataan Tetap berpangkat ME2 dengan 16 tahun pengalaman berkhidmat dan seorang komander senjata berpangkat Sarjan Ketiga.

Dr Ng berkata Pang merupakan sebahagian daripada platun penyenggaraan hadapan yang menyediakan sokongan penyenggaraan asas.

“Malangnya, CFC (NS) Pang terperangkap antara laras meriam dengan bahagian dalam SSPH sedang laras diturunkan dan mengalami kecederaan tindihan pada dada dan perut."

RESPONS SEGERA SELEPAS KEMALANGAN

Pang dirawat di tempat kejadian oleh seorang pegawai perubatan SAF sebelum dikejarkan ke Hospital Waikato. Para doktor memutuskan Pang perlukan pembedahan untuk merawat kecederaannya, kata Dr Ng, yang menambah bahawa Pang masih dalam keadaan sedar dan berbual sebelum pembedahan.

"Tiada kecederaan lain ditemui semasa pembedahan kedua, namun demikian keadaan CFC (NS) Pang semakin teruk, " kata Dr Ng. "Meskipun dibantu sistem sokongan hidup dan rawatan lanjut, CFC (NS) Pang meninggal dunia."

PENGALAMAN KRU PENYENGGARA

Pang dilatih untuk melakukan kerja-kerja penyenggaraan pada SSPH sejak menjadi anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa dan pada ketika itu menyertai Latihan Thunder Warrior bagi latihan dalam kem beliau (ICT) yang ketujuh.

Semasa ICT sebelumnya pada Februari 2018, Pang menghadiri Latihan Vokasional Penyenggaraan ulang kaji selama dua hari, yang turut merangkumi prosedur keselamatan berhubung SSPH, kata Dr Ng.

Menurut Dr Ng, dua anggota yang ada di dalam kabin dengan Pang "sama-sama bertauliah".

"Ketiga-tiga orang di dalam kabin semasa kejadian berkaku sudah dilatih khas bagi SSPH dan berpengalaman melakukan kerja penyenggaraan sebelum ini," kata Dr Ng. "Semasa latihan ini, kedua-dua CFC (NS) Pang dan teknisyen Tetap, melakukan kerja-kerja penyenggaraan ke atas meriam-meriam itu setiap hari."

PROTOKOL KESELAMATAN

Menyentuh tentang protokol keselamatan SSPH, Dr Ng menekankan langkah-langkah yang perlu diambil oleh para kakitangan semasa menggerakkan laras meriam howitzer.

Semasa waktu kecemasan, setiap anggota kecuali pemandu boleh menekan butang kecemasan untuk menghentikan laras atau atau bahagian lain yang bergerak.

MASALAH REKA BENTUK HOWITZER?

Menyusuli kejadian itu, Dr Ng berkata SAF memeriksa SSPH dan memastikan tiada kerosakan pada sistem mesin yang boleh meletakkan kakitangan penyenggaraan lain dalam bahaya.

"Pemeriksaan SSPH tidak menemui sebarang kerosakan pada mekanisme menurunkan laras meriam," tambah Dr Ng.

Beliau menambah SSPH direka dan dibina menurut piawai tentera antarabangsa. Tentera Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jerman juga mengendalikan meriam dengan mekanisme menurunkan laras yang serupa.

Menekankan kenyataan MINDEF sebelum ini, Dr Ng berkata selama 15 tahun lebih 1,000 anggota yang menjalani perkhidmatan negara dan anggota Tetap dilatih untuk mengendali SSPH tanpa sebarang kecederaan dilaporkan akibat penurunan laras, kerja penyenggaraan, operasi atau menembak.

"KAMI ADA KEWAJIPAN PADA SEMUA WARGA SINGAPURA"

Dalam pada itu, Dr Ng memohon setiap pihak mengelakkan daripada membuat natijah sendiri dan menghormati siasatan yang sedang dijalankan COI untuk menentukan apa yang berlaku. Dapatan siasatan akan dibentangkan di Parlimen.

"Semua yang diminta oleh COI akan didedahkan kepada mereka - saya tidak lihat sebarang sebab untuk menyembunyikan sebarang maklumat atas sebab keselamatan."

"Kami mempunyai kewajipan terhadap CFC (NS) Pang dan keluarganya, malah kepada semua warga Singapura, untuk menyiasat apa yang berlaku dan memperbetulkannya bagi memastikan keselamatan sistem latihan NS secara keseluruhannya."

- CNA/TQ/tq

Top