Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kematian 3SG Gavin Chan: Tiada kelalaian atau salah laku tapi peraturan SAF disemak

Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen hari ini (17 Mei) mendedahkan lebih banyak maklumat tentang kematian 3SG Gavin Chan September lalu semasa menjalani latihan di Australia.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 17 May 2018 06:26PM Dikemas Kini : 17 May 2018 11:50PM

SINGAPURA: Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen hari ini (17 Mei) mendedahkan lebih banyak maklumat tentang kematian 3SG Gavin Chan September lalu semasa menjalani latihan di Australia.

Dalam kenyataan menterinya di Parlimen hari ini, Dr Ng berkata bahawa kesemua proses siasatan - termasuk siasatan yang dijalankan pihak berkuasa Queensland memandangkan insiden itu berlaku di Shoalwater Bay, Australia - sudah selesai dan laporan koroner diserahkan kepada ibu bapa mendiang.

3SG Chan sudahpun memenuhi setahun lapan bulan daripada kewajipan Perkhidmatan Negara (NS) mendiang ketika insiden berlaku. Mendiang mengalami beberapa kecederaan disebabkan trauma kenderaan bermotor. 

"INSIDEN YANG SANGAT MALANG"

Menurut siasatan polis Queensland, tiada sebarang kerosakan yang dikesan pada kenderaan berperisai Bionix yang dinaiki 3SG Chan.

Berdasarkan bukti di tempat kemalangan dan maklumat saksi yang dikumpul, laluan Bionix itu tersekat oleh sebuah halangan dan 3SG Chan yang merupakan komander kenderaan tersebut pada ketika itu, memberi arahan kepada pemandunya untuk mengundur kenderaan turun bukit secara perlahan.

"Kesemuanya mengesahkan bahawa pemandu itu sedang mengundurkan kenderaan secara perlahan menurut perintah komander, merentasi batu granit sejauh empat meter sebelum bahagian bawah kenderaan itu terpaut pada bongkah batu besar," menurut laporan koroner.

Ia menambah bahawa komander berkenaan mengarahkan pemandu untuk membelokkan stereng bagi mendapatkan cengkaman yang lebih baik apabila "kenderaan itu tiba-tiba terjatuh daripada bongkah batu tersebut dan tergolek sebelum terhenti di lereng bukit".

3SG Chan "terpelanting dari kenderaan dan mengalami cedera parah". Sistem sokongan pernafasan diberikan sebelum beliau dibawa ke hospital melalui udara di mana beliau disahkan mati, menurut laporan itu lagi.

"Polis membuat pertimbangan bahawa insiden itu berkemungkinan berlaku disebabkan keputusan komander tersebut untuk mengundurkan kenderaan di laluan yang berlainan dan juga kerana beliau memilih untuk mendedahkan separuh daripada tubuhnya di luar kenderaan lantas mendedahkan dirinya kepada lebih banyak risiko," menurut hasil siasatan koroner.

KESILAPAN KESELAMATAN DIKENAL PASTI

Menurut Dr Ng, 3SG Chan dan anggota platun beliau "dilatih dengan cukup dan layak untuk menyertai latihan tersebut, dan tidak mengalami keadaan mental mahupun fizikal yang boleh menjejas kesesuaian mereka untuk mengambil bahagian."

Namun, terdapat beberapa kesilapan keselamatan yang dikenal pasti oleh Jawatankuasa Siasatan (COI).

Salah satunya adalah peralatan untuk melihat dalam gelap (NVD) di kenderaan 3SG Chan rosak. 3SG Chan membuat keputusan untuk memandu tanpa lampu depan meskipun ia sepatutnya digunakan ketika memandu pada waktu malam dan petak pemandu juga seharusnya dibuka .

Namun, menurut pemandu kenderaan tersebut, 3SG Chan berkata bahawa dengan berlaku demikian, ia akan "mendedahkan posisi mereka kepada musuh," tambah Dr Ng.

COI tidak mendapati sebarang "kelalaian, perbuatan khianat mahupun salah laku", kata Dr Ng tetapi ia menyarankan bahawa SAF menyemak semula peraturan keselamatan latihannya tentang posisi komander kenderaan berperisai semasa berperang.

Ia juga mengusulkan agar NVD diperiksa dengan teliti dan tali pinggang keledar dikuatkuasakan bagi para penumpang ketika kenderaan itu sedang bergerak.

Dr Ng selanjutnya berkata bahawa SAF sudahpun melaksanakan latihan tambahan untuk komander kenderaan bagi memandu di permukaan bumi yang tidak rata, dengan peraturan latihan mengehadkan bahagian tubuh yang boleh terdedah sehingga paras pinggang saja semasa beroperasi.

Ia kini juga menguatkuasakan amalan, termasuk memeriksa sama NVD dan peralatan bagi operasi waktu malam rosak, sebelum melakukan latihan waktu malam.

Selain itu, ia juga menerima saranan untuk menguatkuasakan tali pinggang keledar dengan Dr Ng menegaskan bahawa tindakan disiplin akan dikenakan ke atas mereka yang melanggarnya. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan