Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kemasukan pembantu rumah: Sepertiga yang tertangguh sudah dijadual semula, kata MOM

Kemasukan sekitar 1,800 pembantu rumah hijrahan ke Singapura tertangguh sejak bulan Mei. Namun sepertiga daripada mereka kini sudah dijadual semula, kata Menteri Negara Kanan bagi Tenaga Manusia Zaqy Mohamad pada Isnin (26 Jul) di Parlimen.

Anggaran Waktu Membaca:
Kemasukan pembantu rumah: Sepertiga yang tertangguh sudah dijadual semula, kata MOM

Menteri Negara Kanan bagi Tenaga Manusia Zaqy Mohamad berucap di Parlimen pada Isnin (26 Jul) (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 26 Jul 2021 09:22PM Dikemas Kini : 26 Jul 2021 11:58PM

SINGAPURA: Kemasukan sekitar 1,800 pembantu rumah hijrahan ke Singapura tertangguh sejak bulan Mei. Namun tarikh kemasukan bagi sepertiga daripada mereka kini sudah dijadualkan semula, kata Menteri Negara Kanan bagi Tenaga Manusia Zaqy Mohamad pada Isnin (26 Jul) di Parlimen.

Semua pekerja yang terjejas dijangka dapat memasuki Singapura menjelang akhir tahun ini, selagi peraturan kemasukan tidak diperketatkan lagi, kata Encik Zaqy.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Ng Ling Ling (PAP - Ang Mo Kio) tentang isu tersebut, dan sama ada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan membenarkan kemasukan pekerja-pekerja ini untuk keluarga yang sangat memerlukan bantuan penjagaan.

Encik Zaqy berkata pemerintah memperketatkan kelulusan kemasukan mulai Mei bagi pembantu rumah hijrahan (MDW) serta pengunjung lain dari negara-negara dengan penularan COVID-19 lebih tinggi akibat gelombang baru jangkitan di dalam dan luar negara.

"Dari kalangan pengunjung dan MDW yang tiba dari negara-negara tersebut, kami dapati sebilangan besar positif COVID-19 apabila mereka tiba," kata beliau.

"Mereka menimbulkan risiko penularan kepada pekerja barisan hadapan kami di pusat-pusat pemeriksaan dan kemudahan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN), dan perlu dijaga di bawah sistem penjagaan kesihatan kami. Maka itu, Pemerintah perlu mengehadkan jumlah yang datang dari negara-negara yang mempunyai penularan tinggi."

Sejak Mei, MOM hanya dapat meluluskan kemasukan sebilangan kecil pembantu rumah hijrahan setiap minggu. MOM juga menangguhkan kemasukan sekitar 1,800 MDW yang telah menerima kelulusan untuk masuk ke Singapura sebelum itu.

"Dengan hanya bilangan kecil sahaja yang dibenarkan masuk, MOM mengutamakan kemasukan MDW bagi keluarga-keluarga yang mempunyai keperluan penjagaan yang sangat mencabar," kata Encik Zaqy, yang juga merupakan Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan.

SEMUA KEMASUKAN DITANGGUH BOLEH DIJADUAL SEMULA JELANG AKHIR TAHUN

Bagi mereka yang tarikh kemasukannya ditangguh sebelum ini, MOM sudahpun menjadualkan semula sepertiga untuk memasuki Singapura.

"Kecuali pemerintah mengetatkan lagi kelulusan kemasukan, kami berharap dapat membawa mereka masuk baki dua-pertiga lagi secara beransur-ansur menjelang akhir tahun ini," kata Encik Zaqy.

"Namun masih ramai lagi majikan yang masih menunggu untuk menghantar permohonan mereka. Kami berharap situasi COVID-19 di rantau ini akan menjadi lebih baik agar kami dapat membenarkan lebih ramai lagi masuk."

Sementara itu, Persatuan Agensi Pekerjaan Singapura (AEAS) telah memulakan program perintis untuk melaksanakan langkah pengurusan selamat tambahan di negara-negara asal MDW sebelum mereka memasuki Singapura.

Encik Zaqy berkata MOM sedang memantau keberkesanannya. Jika program perintis itu terbukti berkesan dalam mengurangkan bilangan individu yang diuji positif COVID-19 di sempadan Singapura, negara ini boleh secara beransur-ansur membenarkan lebih ramai pembantu rumah masuk di bawah aturan tersebut.

"Keutamaan kami adalah untuk memastikan risiko mengimport COVID-19 diurus dengan baik demi melindungi kesihatan awam dan keselamatan keluarga-keluarga yang akan menerima MDW ini," kata beliau.

"Bukan semua majikan akan menerima kelulusan kemasukan bagi MDW mereka sebelum akhir tahun ini."

Beliau menambah bahawa MOM akan terus mengutamakan golongan yang sangat memerlukan bantuan penjagaan namun sebilangan keluarga mungkin perlu pertimbangkan aturan lain sehingga keadaan pandemik menjadi lebih baik.

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan