Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keluarga Club Rainbow alu-alukan sokongan orang ramai bantu kanak-kanak berpenyakit kronik

Lebih S$250,000 berjaya dikumpul sejauh ini bagi acara Ride for Rainbows sejak kempen mengumpul derma untuk acara amal itu dilancarkan pada Februari lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih S$250,000 berjaya dikumpul sejauh ini bagi acara Ride for Rainbows sejak kempen mengumpul derma untuk acara amal itu dilancarkan pada hujung Disember lalu.

Acara berbasikal anjuran Club Rainbow itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi menampung kos operasi pertubuhan bukan pemerintah (NGO) tersebut yang mencecah S$5 juta setiap tahun.

Sumber: Ride for Rainbows/YouTube

Derma yang diterima akan disalurkan kepada program-program yang dikendalikan untuk menyokong lebih 1,000 penerima bantuan Club Rainbow yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja berusia bawah 20 tahun yang menghidap penyakit kronik serta keluarga mereka.

KAYUH BASIKAL DEMI BANTU KANAK-KANAK BERPENYAKIT KRONIK

Dengan S$700,000 menjadi sasaran bagi edisi kelapan ini, kesemua 310 peserta acara berbasikal itu kini gigih berusaha menggalak orang ramai untuk menyokong dan menyumbang kepada dana tersebut.

Pada 27 April ini, mereka akan mengayuh basikal antara 28km hingga 108km, bermula dari Bendungan Marina. Cabaran tersebut memang mencabar, lebih-lebih lagi memandangkan ramai peserta tidak mengayuh basikal dengan kerap.

Presiden Club Rainbow Dr Sashi Ganapathy akan menyertai Ride for Rainbows buat kali ke-5. 

“Salah satu sebab kami memilih untuk menganjurkan acara berbasikal adalah kerana ia mencabar. Namun, ia juga melambangkan kepayahan hidup yang anak-anak (Club Rainbow) mengalami – kanak-kanak yang berpenyakit kronik ini.

“Pada masa yang sama, ia adalah salah satu cara untuk menyumbang kepada kanak-kanak tersebut dan membuktikan kepada mereka bahawa kami boleh mengharungi apa jua cabaran dengan bekerja keras,” kata Presiden Club Rainbow Dr Sashikumar Ganapathy, 36 tahun, yang akan menyertai Ride for Rainbows buat kali kelima.

INGIN SUMBANG SEMULA

Turut menyertai pasukan Dr Sashi adalah bekas penerima bantuan Club Rainbow, Muhd Sharil Hamid, 29 tahun yang akan mengayuh basikal sejauh 58km.

Muhammad Sharil Hamid bekas penerima bantuan Club Rainbow dan kini sering menyumbang kepada NGO tersebut bagi membantu rakan-rakan senasib dengannya.

Pegawai Eksekutif Operasi di salah sebuah syarikat pengangkutan Singapura itu melihat acara seperti Ride for Rainbows sebagai salah satu cara untuk menyumbang semula kepada NGO tersebut yang sudah banyak membantu beliau.

Sejak berusia enam tahun lagi, Sharil menghidap penyakit pundi yang lemah iaitu Neurogenic Bladder dan terpaksa menjalani beberapa pembedahan untuk memulihkan saraf pundi yang rosak.

Selain bantuan kewangan, beliau yang kini sudah berumahtangga turut menyertai program-program anjuran Club Rainbow bagi membina keyakinan diri.

“Dulu semasa kecil lagi saya seorang yang pendiam. Jadi sebagai contoh dalam perkhemahan Camp Rainbow, satu acara anjuran Club Rainbow juga, saya diberi kepercayaan untuk menjadi ketua kumpulan untuk pertandingan bersorak dan kita menang akhirnya.

“Dengan pengalaman itu, ia memberi saya lebih keyakinan diri dan juga lebih bersemangat untuk menjalani kehidupan saya sebagai seorang yang berpenyakit,” kongsi Shahril, seorang penggemar sukan berbasikal.

“Saya berharap sangat dana yang dikumpulkan dapat membantu semua kanak-kanak dan keluarga Club Rainbow untuk mereka menjalani kehidupan dengan sempurna dengan tidak terasa terlalu beban dengan keadaan yang mereka mengalami sekarang,” tambah beliau.

6 TAHUN BELAKANG TABIR, KINI TAMPIL KAYUH BASIKAL

Berbeza dengan Dr Sashi dan Sharil, Norashikin Abu Bakar, 42 tahun pula akan membuat penampilan sulung dalam acara Ride for Rainbows tahun ini.

Senyuman terukir di wajah Norashikin Abu Bakar yang akan mengambil bahagian dalam Ride for Rainbows buat pertama kali tahun ini. 

Sepanjang enam tahun yang lalu, Pegawai Eksekutif Khidmat Sosial Club Rainbow di Hospital Universiti Nasional (NUH) ini biasanya bertugas di balik tabir bagi acara-acara Ride for Rainbows.

Namun, didorong oleh para pegawai lain, beliau meyakinkan diri untuk turut mengayuh basikal bersama rakan-rakan setugas.

“Saya memilih untuk menyertai acara berbasikal amal ini kerana saya ingin memberi lebih kesan dan impak terhadap tugas yang saya lakukan, sekaligus saya berharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat di luar sana untuk tampil ke hadapan, menyertai acara ini dan sama-sama kita dapat membantu anak-anak dari Club Rainbow yang menghidap penyakit kronik ini,” ujar Shikin.

Pegawai yang sudah berkhidmat selama lapan tahun di Club Rainbow itu turut mengongsi bahawa setiap tahun, sejak Ride for Rainbows dianjurkan pada 2012, beliau paling terkesan apabila melihat bagaimana dana yang dikumpul dapat membantu para pesakit di bawah jagaannya.

“Alhamdulillah, dengan dana yang dapat kami kumpulkan dari acara Ride for Rainbows ini pada tahun-tahun yang lepas, dapat kami salurkan kepada khidmat-khidmat yang telah kami sediakan,” kata Shikin yang berkongsi tentang lima khidmat utama yang disediakan NGO tersebut – iaitu sokongan emosi, bantuan kewangan, bantuan pendidikan, program sosial dan peningkatan kemahiran.

SOKONGAN AWAM DIALU-ALUKAN

Lebih menarik lagi, untuk menggalak orang ramai supaya lebih bermurah hati dan menderma, Club Rainbow akan menetapkan kriteria bagi setiap peserta.

Sebelum layak untuk mengayuh basikal bulan depan, Dr Sashi, Sharil dan Shikin harus mengumpul jumlah dana tertentu berdasarkan jarak yang disertai - peserta acara 28km, 58km dan 108km masing-masing perlu mendapatkan S$128, S$588 dan S$1,088.

Sehubungan itu, mereka amat mengalu-alukan sokongan orang ramai untuk menderma secara online di www.rideforrainbows.org dan usaha mengumpul dana akan ditutup pada 31 Mac ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan