Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keluarga Cik Sadiah serik guna PMD setelah segalanya hangus dijilat api

Sebuah keluarga yang dahulu bergantung kepada penggunaan alat mobiliti peribadi (PMD) untuk bergerak dan melakukan perjalanan ke tempat kerja kini serik untuk menggunakannya setelah sebuah e-skuter yang sedang dicas dalam rumah mereka terbakar.

Anggaran Waktu Membaca:
Keluarga Cik Sadiah serik guna PMD setelah segalanya hangus dijilat api

(Gambar: SCDF & Justin Ong/TODAY)

Diterbitkan : 26 Oct 2019 03:50PM Dikemas Kini : 26 Oct 2019 03:52PM

SINGAPURA: Sebuah keluarga yang dahulu bergantung kepada penggunaan alat mobiliti peribadi (PMD) untuk bergerak dan melakukan perjalanan ke tempat kerja kini serik untuk menggunakannya setelah sebuah e-skuter yang sedang dicas dalam rumah mereka terbakar.

Cik Sadiah, yang enggan mendedahkan nama penuhnya atau membenarkan gambarnya dipetik untuk melindungi identiti keluarganya berkata: “(Anak-anak lelaki saya) tidak mahu lagi tunggang alat mobiliti peribadi. Mereka berhenti membuat (penghantaran makanan) kerana mereka takut. PMD itu seakan-akan bom yang menunggu masa untuk meletup.”

Suri rumah berusia 48 tahun itu dan suaminya serta ketiga-tiga anak mereka kehilangan kesemua barangan mereka apabila kebakaran berlaku di flat sewa mereka pada petang 22 Julai lalu.

60 penduduk Blok 224 Ang Mo Kio Avenue 1 terpaksa dipindahkan sementara seorang dewasa dan tiga kanak-kanak diselamatkan daripada unit berhampiran di tingkat empat oleh Polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Cik Sadiah pada waktu itu sedang keluar membeli-belah di kawasan kejiranan apabila beliau menerima panggilan daripada salah seorang anak lelakinya yang memberitahu rumah mereka dijilat api.

“Saya fikir ia hanya kebakaran kecil, jadi saya menyuruhnya untuk menyimbah air. Namun, beliau kata tidak boleh berbuat demikian kerana PMD itu sudah meletup,” kata Cik Sadiah.

Kebakaran yang berlaku di dapur itu merebak terlalu pantas untuk anak lelaki Cik Sadiah memadamkannya.

Anak-anak lelakinya yang berusia 26 dan 30 tahun sedang berehat di rumah setelah bekerja syif malam.

Beliau bergegas pulang ke blok dan mendapati sebuah kereta bomba sudah tiba dan beliau bersyukur melihat anak-anaknya dapat keluar daripada flat itu dalam keadaan selamat.

“Mereka tidak sempat mengambil apa-apa (bersama mereka) kerana api itu merebak dengan terlalu pantas,” katanya sambil menambah bahawa mereka (kedua-dua anaknya) turun ke kolong blok setakat memakai seluar pendek saja.

WANG S$6,000 HANGUS DIJILAT API

Bagi menyambut Hari Raya Puasa sebulan sebelum itu, keluarga Cik Sadiah membeli perabot baru bagi flat sewa mereka termasuk sebuah sofa baru.

Ia juga merupakan penghujung bulan dan Cik Sadiah mengeluarkan sekitar S$6,000 daripada akaun bank untuk disimpan di dalam rumah sebagai “wang darurat” dan bagi menampung perbelanjaan.

Kebakaran itu terlalu besar sehingga mereka kehilangan segala-galanya termasuk perabot, pakaian dan kesemua wang tunai S$6,000.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk menanganinya. Saya mahu berasa sedih, tetapi tidak boleh berasa sedih,” katanya. “Satu perkara sahaja… saya simpati akan keselamatan anak-anak saya dan di mana mereka akan tinggal (selepas ini), itu sahaja.”

HDB bersama Majlis Bandaran Ang Mo Kio menemui unit yang tidak dihuni untuk Cik Sadiah sekeluarga berteduh di blok yang sama di tingkat dua pada malam yang sama dan keluarga itu masih tinggal di sana sehingga ke hari ini.
Mereka menyediakan keluarga Cik Sadiah dengan sebuah tilam, katil dan kipas.

MURAH HATI ORANG AWAM

Pada malam kebakaran itu juga, jiran tetangga, keluarga dan teman-teman mengunjungi mereka dan mendermakan keperluan dapur seperti makanan.

Keesokan harinya, Cik Sadiah memohon bantuan kewangan daripada Pejabat Khidmat Sosial Ang Mo Kio. Mereka membantunya mengecualikan yuran sewa selama tiga bulan berjumlah sekitar S$300 sebulan.

Beberapa hari selepas berlaku kebakaran itu, beliau mengunjungi masjid berhampiran untuk meminta bantuan.

“Saya tidak berlengah, sebab ia begitu sukar jika anda tidak mempunyai apa-apa,” katanya.

Anak menantunya juga membantu dengan membuat catatan mengenai nasib keluarga Cik Sadiah di Facebook di mana menurutnya, menjadi tular dan para sukarelawan “datang untuk menderma.”

“Saya tidak tahu nama dan nombor telefon mereka,” katanya. “Apabila mereka datang, saya beritahu mereka, kami tidak dapat melunaskannya sebab kami tidak mempunyai wang.”

Cik Sadiah juga menceritakan bagaimana seorang lelaki menghubungi keluarganya menerusi Facebook, lalu menjelaskan beliau akan mengubah elok rumahnya dan meminta keluarganya datang ke rumahnya dan mengambil apa saja yang diperlukan.

“Anak-anak lelaki saya pergi ke rumahnya dan mereka mengambil kipas, televisyen… ia bukanlah baru, tetapi masih boleh digunakan.

“Kesemua barangan ini diberikan oleh orang ramai,” katanya sambil menunjukkan kepada Mediacorp keadaan di rumah sementara mereka. “Saya amat bersyukur.”

Beliau menambah unit lamanya yang sudah didiami selama 20 tahun, dipulihkan sepenuhnya oleh HDB dan kini ditawarkan untuk disewa.

SATU DALAM KALANGAN RAMAI

Pada separuh pertama tahun ini, terdapat 54 kes dilaporkan yang melibatkan PMD, lebih dua kali ganda daripada jumlah kes sebanyak 24 yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Pada 18 Julai, kebakaran di flat Bukit Batok dikaitkan dengan penggunaan e-skuter yang meragut nyawa seorang lelaki berusia 40 tahun.

Pada 7 Oktober, Menteri Negara Kanan Pengangkutan Dr Janil Puthucheary berkata kementeriannya akan menjalankan penilaian secara menyeluruh untuk menimbangkan sama ada Pemerintah perlu meninjau semula pendekatan dan memperkenalkan langkah baru untuk meningkatkan keselamatan laluan awam dan mengurangkan risiko kebakaran berkaitan PMD.

Menjelang Julai tahun depan, kesemua pengguna PMD di Singapura perlu mematuhi UL2272, piawai keselamatan yang akan mengurangkan risiko kebakaran.

‘TIDAK SANGKA IA AKAN BERLAKU PADA KAMI’

Meskipun sebelum ini mereka memiliki empat alat mobiliti peribadi – anak-anak lelakinya dahulu melakukan khidmat penghantaran makanan dan menunggangnya pada waktu malam bersama rakan-rakan mereka – mereka juga menjual hampir kesemua PMD pada masa kejadian itu berlaku.

Cik Sadiah berkata PMD yang terbakar itu bukan milik keluarganya tetapi milik tunang anak perempuannya.

Pasangan itu menukar PMD kerana mereka sudah menunggangnya sehari sebelum berlaku kebakaran dan bateri alat mobiliti peribadi milik tunang anaknya mati di flat Cik Sadiah.

“Beliau menggunakan PMD anak perempuan saya untuk pulang ke (rumah) sementara PMDnya sedang dicas di rumah kami.”

Sumber : Today/HA/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan