Images
  • otters
    Sekumpulan memerang cuba melintasi jalan raya di Anson Road. (Gambar: Ottercity/Facebook)

Keluarga berenam memerang cuba lintas jalan di CBD

SINGAPURA: Keadaan lalu lintas di Anson Road di daerah pusat bandar (CBD) terhenti seketika pada waktu sibuk sebelah pagi semalam (13 Jun) apabila sekumpulan memerang cuba menyeberangi jalan raya yang sesak itu.

Kumpulan kepentingan memerang, Ottercity, memuat naik video di Facebook menunjukkan enam memerang - tiga dewasa dan tiga anak - terkandas di tengah-tengah jalan raya yang menghala ke sebuah cawangan McDonald's.

Di dalam video tersebut, seorang lelaki kelihatan mengawal trafik untuk memberi laluan kepada kumpulan memerang itu melintasi jalan raya. Sedang kumpulan memerang itu cuba bergerak ke hadapan, keadaan trafik akhirnya memaksa mereka untuk berpaling arah dan bergegas ke dalam belukar di tepi jalan raya.

Ottercity menyatakan haiwan itu serta para pemandu "dipastikan selamat" oleh orang awam.


Kumpulan tersebut, diterajui oleh sekumpulan pemerhati memerang veteran, menulis di catatan Facebooknya: "Kami percaya (memerang itu) dalam kekeliruan pagi tadi apabila mereka keluar daripada sistem terusan yang mereka telah terbiasa."

Ia turut menambah bahawa para pemerhati memerang dan kakitangan daripada Lembaga Taman Nasional (NParks) telah pergi ke tempat kejadian untuk menilai keadaan tersebut dan cuba menjejaki keluarga memerang itu namun kelibat mereka tidak kelihatan.

Ottercity menyatakan ia juga melakukan "penilaian ke atas terusan dan longkang" di sekitar kawasan itu dengan bantuan Agensi Air Negara (PUB). I amendapati terdapat "beberapa tempat akses ke terusan tertutup menerusi longkang-longkang lebih kecil." 

- TODAYonline/FZ/fz

Top