Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kelompok COVID-19 TTSH: 5 pesakit sudah keluar hospital, 3 pelawat antara 11 kes baru

Lima pesakit yang sudah dibenarkan pulang dari wad Hospital Tan Tock Seng (TTSH) dan tiga pelawat merupakan antara 11 kes baru COVID-19 yang dikaitkan dengan kelompok jangkitan di sana.

Anggaran Waktu Membaca:
Kelompok COVID-19 TTSH: 5 pesakit sudah keluar hospital, 3 pelawat antara 11 kes baru

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 03 May 2021 08:34AM Dikemas Kini : 03 May 2021 08:39AM

SINGAPURA: Lima pesakit yang sudah dibenarkan pulang dari wad Hospital Tan Tock Seng (TTSH) dan tiga pelawat merupakan antara 11 kes baru COVID-19 yang dikaitkan dengan kelompok jangkitan di sana.

Lagi dua kes melibatkan pesakit hospital itu manakala satu kes selebihnya adalah seorang ahli fisioterapi, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Ahad (2 Mei).

Kesemua kes baru itu berhubung kait dengan Wad 9D.

Kelompok TTSH iaitu kelompok COVID-19 hospital pertama di Singapura, bertambah kepada 27 kes setelah seorang jururawat yang bertugas di Wad 9D diuji positif bagi virus berkenaan pada 27 April.

MOH menyatakan pihak hospital sudah selesai menjalankan ujian swab terhadap kesemua pesakit di wad-wad utamanya pada 30 April dan keputusan bagi kesemua ujian adalah negatif.

Kesemua 12,000 kakitangan hospital juga akan diuji bagi COVID-19. Sekitar 7,000 kakitangan sudah menjalani ujian swab dan keutamaan akan diberikan kepada kakitangan swab yang bertugas di kawasan klinikal dalam tempoh beberapa hari seterusnya.

LIMA PESAKIT SUDAH KELUAR HOSPITAL

Lima pesakit yang sudah pulang dari hospital dan pernah dirawat di Wad 9D sebelum ini merupakan antara kes baru yang dilaporkan pada Ahad.

Kesemuanya adalah rakyat Singapura dan mereka diletakkan di bawah kuarantin pada 29 April dan diuji bagi COVID-19 pada 30 April. Mereka diuji positif sehari kemudian.

Kes 62713 adalah seorang wanita berusia 65 tahun yang dimasukkan ke wad dari 21 April hingga 25 April. Beliau mengalami demam pada 30 April namun tidak melaporkan simptomnya, menurut MOH.

Kes 62714 merupakan seorang wanita berusia 60 tahun yang dimasukkan ke wad dari 20 April hingga 26 April. Beliau menjalani ujian swab semasa menjalani rawatan di hospital dan diuji negatif dua kali pada 20 April dan 21 April.

Kes 62717 adalah seorang wanita berusia 89 tahun yang dimasukkan ke wad dari 7 April hingga 21 April.

Kes 62723 merupakan seorang lelaki berusia 84 tahun yang dimasukkan ke wad dari 20 April hingga 22 April. Beliau juga merupakan suami kepada Kes 62680, yang diuji positif pada 30 April. Pada 1 Mei, beliau mula demam dan mengalami sesak nafas dan diuji positif bagi COVID-19.

Kes 62724 adalah seorang lelaki berusia 79 tahun yang dimasukkan ke wad dari 21 April hingga 26 April.

TIGA PELAWAT

Tiga lagi kes adalah pelawat yang mengunjungi Wad 9D TTSH antara 18 April dengan 28 April. Mereka diletakkan di bawah kuarantin sebelum diuji positif bagi COVID-19. Ketiga-tiganya adalah rakyat Singapura yang mengunjungi anggota keluarga di wad berkenaan.

Kes 62715 adalah seorang wanita berusia 50 tahun yang merupakan anggota keluarga kepada Kes 62573, seorang wanita berusia 88 tahun yang dimasukkan ke wad dari 14 April hingga 28 April. Wanita itu disahkan dijangkiti COVID-19 pada 28 April dan meninggal dunia akibat komplikasi daripada penyakit itu pada 1 Mei.

Pada 29 April, wanita berusia 50 tahun itu mengalami batuk dan sakit tekak namun tidak mendapatkan rawatan perubatan, menurut MOH.

Setelah beliau dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada Kes 62573, beliau dikuarantin namun tidak melaporkan simptomnya. Beliau diuji positif bagi COVID-19 pada 1 Mei.

Dua anggota keluarga yang melawat pesakit yang sudah dibenarkan pulang (Kes 62714) ketika beliau dirawat di Wad 9D juga diuji positif.

Kes 62721, seorang wanita berusia 25 tahun dan Kes 62722, seorang lelaki berusia 58 tahun, dikenal pasti sebagai kontak rapat dan diletakkan di bawah kuarantin. Kedua-duanya diuji bagi COVID-19 pada 30 April dan keputusan ujian mereka adalah positif sehari kemudian.

2 PESAKIT, SEORANG AHLI FISIOTERAPI

Dua lagi kes merupakan pesakit yang berada di Wad 9D apabila Kes 62541, seorang jururawat warga Filipina berusia 46 tahun disahkan dijangkiti COVID-19. Kedua-dua pesakit itu merupakan rakyat Singapura.

Kes 62732 ialah seorang wanita berusia 98 tahun yang dimasukkan ke wad dari 27 April hingga 29 April. Beliau diuji negatif bagi COVID-19 pada 28 April. Sehari kemudian, beliau dipindahkan ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dan diuji sekali lagi pada 30 April. Beliau disahkan dijangkiti koronavirus pada 1 Mei.

Seorang lagi pesakit iaitu seorang wanita berusia 90 tahun, dimasukkan ke wad dari 26 April hingga 28 April. Beliau diuji negatif bagi COVID-19 pada 28 April dan dipindahkan ke NCID pada hari yang sama. Beliau diuji sekali lagi pada 30 April dan disahkan dijangkiti virus itu pada 1 Mei. Pada 2 Mei, beliau mengalami demam.

Selebihnya satu kes yang dikaitkan dengan TTSH pada Ahad merupakan seorang warga Malaysia berusia 27 tahun (Kes 62731) yang bertugas sebagai seorang ahli fisioterapi di Wad 9D. Pada 29 April, beliau dikenakan kuarantin dan diuji sehari kemudian.

Pada 30 April, beliau mengalami selesema dan melaporkan simptom yang dialami pada 1 Mei - pada hari yang sama keputusan ujiannya didapati positif bagi COVID-19.

"Siasatan epidemiologi masih dijalankan. Buat sementara waktu ini, semua kontak rapat kepada kes-kes yang sudah dikenal pasti sedang menjalani pengasingan dan diletakkan di bawah kuarantin, dan akan diuji pada permulaan dan penghujung tempoh kuarantin supaya kami boleh mengesan kes-kes tidak bergejala," menurut MOH.

"Kami juga akan menjalankan ujian serologi bagi kontak-kontak rapat mereka bagi mengesahkan jika kes-kes mungkin dijangkiti daripada mereka."

Kelompok TTSH adalah kelompok jangkitan COVID-19 hospital yang pertama di Singapura dan sekarang ini merupakan kelompok aktif terbesar dalam kalangan sembilan kelompok.

Setelah seorang jururawat diuji positif bagi virus itu pada 27 April, empat wad hospital disekat dan kontak rapat kepada mereka yang dijangkiti termasuk para pesakit, pelawat dan kakitangan yang pernah berada di wad-wad terjejas telah dikuarantin.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan